Selasa, Jun 30, 2009

Uthman bin Affan ( Zu nur ain) 2

Dalam satu peristiwa lain, pada tahun ke-7 hijrah Rasulullah telah mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah bersama sebilangan umat Islam dengan niat untuk mengerjakan umrah. Belum pun sampai ke Makkah, perjalanan rombongan Rasulullah dan para sahabat telah dihalang oleh orang kafir Quraisy. Mereka menunjukkan isyarat seolah-olah mahu berperang, sedangkan itu bukanlah tujuan Rasulullah ke Makkah. Jadi, Rasulullah telah mengutuskan Uthman r.a sebagai orang tengah untuk mengadakan perdamaian. Semasa menunggu, datanglah berita menyatakan yang Uthman r.a telah dibunuh.

Dengan itu, Rasulullah s.a.w telah menganjurkan kaum muslimin untuk berperang menuntut bela atas kematian Uthman r.a. Peristiwa inilah yang dipanggil bai’t Ridhwan. Tetapi, sebelum sempat umat Islam mengangkat senjata untuk berperang, Uthman r.a telah kembali kepada mereka dalam keadaan sihat dan selamat.

Untuk memahami peristiwa ini dengan lebih baik, i/akhawat boleh rujuk mana-mana buku fiqh sirah tulisan Said Ramadhan Al-Buti atau Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Isnin, Jun 29, 2009

Uthman bin Affan ( Zu nur ain) 1

Berbeza dengan Abu Bakr r.a dan Umar r.a sebagai mertua Rasulullah, Usman r.a adalah menantu Rasulullah s.a.w. Dan yang menariknya, Uthman berkahwin dengan dua orang anak perempuan Rasulullah s.aw. Itulah sebabnya Uthman dipanggil sebagai Zu Nur Ain, yang punya dua cahaya mata. Dua orang cahaya mata Rasulullah s.a.w tersebut adalah Ruqaiyyah dan Ummi Kalthum.

Selain itu, Uthman sangat terkenal dengan satu sikap yang melekat pada dirinya. PEMALU. Ada satu kisah menarik yang membuktikan sikap pemalu Uthman. Kisahnya berbunyi begini:

Pada suatu hari, Rasulullah sedang berbaring dan kain Rasulullah terselak sedikit. Apabila Abu Bakr r.a meminta izin untuk lalu, Rasulullah mengizinkan sahaja beliau berlalu. Kemudian datang pula Umar r.a meminta izin untuk lalu dan seperti Abu Bakr r.a tadi, Rasulullah mengizinkan beliau lalu tanpa mengubah apa-apa posisi baginda. Walau bagaimanapun, apabila Uthman r.a meminta izin untuk lalu, Rasulullah segera bangun dan menutup kain yang terselak tadi dan barulah memberi izin kepada Uthman r.a. Perkara ini disedari oleh Aisyah r.a. Maka Aisyah pun bertanyalah pada Nabi s.a.w, mengapa berkelakuan sedemikian. Maka jawab baginda: “Masakan aku tidak malu pada manusia yang para malaikat juga malu kepadanya”.

Sabtu, Jun 27, 2009

Umar bin Al-Khattab (Al-faruq) 5

Umar r.a mati syahid semasa memegang jawatan Amirul Mukminin. Beliau telah dibunuh oleh seorang lelaki Yahudi yang bernama Fairuz.(Menggunakan nama samaran sebagai Abu Lu’luah).

Bagaimana pula dengan gelaran Al-Faruq yang diterima beliau? Jika benar-benar menghargai sumbangan para sahabat Nabi s.a.w, maka inilah masa untuk kita mengkaji cerita selanjutnya..

Mampukah kita mencontohi Umar? Ayuh berusaha..

Jumaat, Jun 26, 2009

Umar bin Al-Khattab (Al-faruq) 4

Terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan yang ada pada Umar r.a seperti:

  • selalu berjaga malam untuk beribadah kepada ALLAH
  • Seorang pemimpin yang adil. Antara bukti ketara beliau ada seorang pemimpin adil adalah dalam peristiwa berikut;

Semasa Umar menjadi Amirul Mukminin, telah berlaku satu peristiwa di mana seorang lelaki berbangsa Kristian telah pergi mengadu kepada beliau mengenai anak Amru bin Al-Ash, Gabenor Mesir. Apakah yang telah anak Amru lakukan? Oh, rupanya lelaki kristian itu telah mengalahkan anak Amru dalam satu pertandingan, maka anak Amru telah menamparnya dan berkata: “Mengapa kamu mengalahkan saya, tidakkah kamu mengetahui saya adalah putera seorang yang mulia lagi pembesar?”

Atas nasihat orang sekelilinglah menyebabkan lelaki kristian ini datang mengadukan kesnya kepada Khalifah Umar r.a. Setelah Umar r.a menerima berita ini, beliau terus menulis surat kepada Amru bin Ash supaya beliau dan anaknya bersegera datang menemui Umar di Madinah. Setelah tiba Amru bin Ash bersama anaknya di Madinah, maka Umar memerintahkan lelaki kristian tadi membalas sebagaimana yang telah dilakukan padanya dahulu. Setelah menghukum anak tersebut, Umar r.a memerintahkan supaya dipukul pula si ayah. Kerana jika bukan kerana si ayah yang berkuasa, nescaya anaknya tidak berbuat aniaya seperti itu. Akhirnya orang kristian tersebut memaafkan mereka.

Banyak lagi kisah-kisah popular lain mengenai Umar r.a seperti kisah Gadis penjual susu bersama ibunya dan kisah seorang ibu merebus batu dalam kegelapan malam..

  • Pemimpin yang sentiasa menerima teguran dan mendengar keluhan rakyat. Pernah suatu ketika seseorang datang memotong pidato Umar r.a dengan berkata
“Saya tidak akan mendengar dan tunduk. Masing-masing dari kita telah memperoleh sepotong kain dari ghanimah dan begitu susah sekali untuk dijadikan baju (kerana kain tersebut cukup-cukup sahaja). Sedangkan anda adalah orang yang berbadan tinggi, maka pastilah kain itu tidak sepatutnya cukup untuk membuat baju yang anda pakai ini” (Maksudnya orang ini adalah; Umar telah mengambil ghanimah lebih dari yang sepatutnya). Tetapi Umar r.a diam tidak menjawab dan Abdullah si puteranya menjawab: “Saya telah memberikan bahagian saya kepada ayah, kerana itulah ayah dapat membuat baju dari kain tersebut”. Barulah orang tersebut berkata “sekarang kami akan dengar dan tunduk”.

Khamis, Jun 25, 2009

Umar bin Al-Khattab (Al-faruq) 3

Setelah Hamzah menamatkan kata-kata, Nabi s.a.w diam sebentar dan berkata:

Bergembiralah kamu semua! Sesungguhnya Umar telah datang pada kamu sekalian dalam keadaan cahaya Islam terpancar dari kedua belah matanya..

Masuklah Umar r.a untuk mengadap Rasulullah sambil mengucapkan kalimah syahadatain.

Siapa menyangka Umar yang terkenal dengan kekerasannya menentang Islam itu menyatakan keislaman?. Jika kita pembaca dizaman ini terasa tempias kegembiraan apabila Umar menyatakan keislaman, apatah lagi para sahabat pada zaman itu. Allah telah mengabulkan doa Nabi Muhammad s.a.w.

Apabila hijrah disyariatkan, Umar turut melakukannya. Yang menariknya, tiada sesiapa pun dikalangn orang kafir Quraisy yang berani menghalang penghijrahan Umar. Itulah kelebihan beliau.. Ditakuti lawan tetapi disayangi dan dihormati oleh sahabat..

Selain Abu Bakr r.a, Umar juga menjadi Menteri Penasihat Rasulullah dalam kerajaan Islam Madinah. Dan kadang-kadang, pendapat Umar lebih dipersetujui oleh Allah berbanding pendapat Abu Bakr r.a (sebagaimana yang terjadi dalam keputusan Rasulullah mengenai tawanan perang Badar). Untuk mengetahui kisah ini, boleh rujuk buku sirah riwayat Ibnu Hisyam.

Seperti Abu Bakr r.a, Umar juga merupakan bapa mertua Rasulullah, kerana Rasulullah menikahi kedua-dua anak perempuan mereka, Aisyah binti Abu Bakr dan Hafsah Binti Umar. Sebagai informasi tambahan, cerita mengenai pembunuhan anak perempuan Umar semasa jahiliyah adalah tidak sahih. Para perawi cerita tersebut gagal membuktikan anak perempuan dari Isteri Umar yang manakah sebenarnya yang telah ditanam.

Rabu, Jun 24, 2009

Umar bin Al-Khattab (Al-faruq) 2

Semasa Umar Al-Khattab sampai di rumah adiknya, Fatimah bin Al-Khattab dan suaminya sedang membaca ayat Quran. Umar mendapati pintu rumah Fatimah sudah pun pecah, maka dia memasuki rumah itu perlahan-lahan. Umar mendengar sayup-sayup alunan suara bacaan Al-Quran. Apabila beliau merasa tenteram dengan bacaan tersebut, Umar mematikan langkahnya. Seolah-olah ada kuasa yang menghalangnya dari maju menapak.

Setelah Fatimah berhenti membaca Quran, Umar segera berteriak memanggil adiknya. Sudah semestinya Fatimah terkejut dan segera menyembunyikan lembaran Quran yang dipegangnya. Umar r.a meminta penjelasan dari Fatimah supaya menerangkan makna bacaannya kerana Umar terasa kurang faham. Tetapi Fatimah ingkar. (Kerana Fatimah masih menyembunyikan keislamannya dari Umar). Ini menyebabkan Umar menjadi marah. (Sudah diketahui keperibadian Umar yang garang). Umar ingin menampar adik perempuan kandungnya, tetapi dihalang oleh suaminya, sehingga jatuh berdarah muka adik ipar Umar.

Apabila berjaya merampas lembaran Quran itu, Umar pun membacanya:

Taha. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah, iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas ’arasy

Surah Taha: 1-5

Kemudian meneruskan bacaan:

Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah

Al-Hasyr: 21

Hilanglah segala kemarahan dan kegarangan Umar sebentar tadi. Umar tunduk dan memeluk sambil mengangkat adik iparnya yang jatuh berdarah tadi dan bertanya dimana Muhammad s.a.w. Pada mulanya, mereka enggan memberitahu kepada Umar di mana Rasulullah s.a.w kerana meragui kejujuran Umar. Akhirnya mereka akur dan memberitahu kepada Umar r.a di mana Rasulullah berada.

Hilang segala keangkuhan Umar. Lenyaplah kekerasan hati beliau. Hancur segala kesombongan yang ada pada beliau. Ayat Allah telah meresap masuk ke dalam hati dan anggota tubuhnya. Berangkatlah Umar ke rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Apabila diketuk pintu rumah tersebut, sahabat pun mengintailah siapa gerangan yang datang.

Alangkah TERKEJUTNYA sekalian sahabat Nabi s.a.w. Yang datang itu bukan calang-calang orang! Itu adalah Umar Al-Khattab. Antara penentang dakwah islam yang paling lantang. Sudahlah membawa pedang terhunus.

Khuatir sungguh para sahabat, kerana Umar datang dengan pedang terhunus di tempat persembunyian mereka. Akan tetapi Hamzah bin Abdul Mutalib berkata

Wahai Rasulullah, perkenankanlah saya, Andaikata dia bermaskud baik, maka saya akan beri kebenaran kepadanya untuk masuk. Jika dia datang hanya untuk membuat kejahatan, maka saya akan bunuhnya dengan pedangnya

Apakah kelakuan Umar r.a seterusnya?

Selasa, Jun 23, 2009

Umar bin Al-Khattab (Al-faruq) 1

Sahabat yang dijamin ahli syurga seterusnya adalah Umar bin Al-Khattab. Bagi penulis, ini sahabat yang paling mudah diingati segala ceritanya.


Semasa pertama kali mengenali 10 sahabat Nabi yang dijamin ahli syurga, inilah sahabat Nabi yang paling menarik perhatian penulis kerana sabda Rasulullah s.a.w yang memberitahu, syaitan tidak akan melalui jalan yang dilalui oleh Umar r.a. Wah! hebatnya hamba Allah ini.. Jika manusia lain, syaitan datang berbisik-bisik dan membelai-belai, akan tetapi tidak dengan sahabat Nabi yang seorang ini.

Jika Abu Bakr r.a terkenal dengan kelembutan dan kekayaannya, Umar r.a pula terkenal dengan ketegasan dan kegarangannya. Dari sebelum Islam hinggalah menjadi Islam.

Rasulullah pernah berdoa memohon kepada Allah s.w.t:

Ya Allah muliakanlah agama Islam ini dengan salah satu dari dua Umar (Umrain)

Tahukah i/akhawat siapa seorang lagi Umar yang dimaksudkan dalam doa ini? Itu adalah Umar (Amru) bin Hisyam yang lebih terkenal sebagai Abu Jahal.

Peristiwa Islamnya Umar Al-Khattab sungguh menarik. Mari kita ikuti kisah pengislaman Umar r.a.

Semasa Rasulullah berdakwah di Makkah, kaum kafir Quraisy telah mengadakan pelbagai mesyuarat, perjumpaan dan usaha untuk mengalahkan Rasulullah sehingga kemuncaknya adalah usaha membunuh Rasulullah s.a.w. Usaha membunuh Rasulullah s.a.w juga dilaksanakan dengan pelbagai idea, di antara ideanya adalah melibatkan Umar Al-Khattab.

Setelah bermesyuarat dengan khusyuk, akhirnya para pembesar Quraisy bersepakat untuk menghantar Umar Al-Khattab untuk membunuh Rasulullah. AL-Maklumlah, semua orang sudah tahu kegarangan dan ketegasan Sayidina Umar Al-Khattab terhadap Islam.

Dengan pedang terhunus, berjalanlah Umar Al-Khattab dengan tujuan membunuh Rasulullah s.a.w. Belum pun sampai, beliau terserempak dengan seorang lelaki yang menyembunyikan keislamannya dan bertanya: Kemanakah awak mahu pergi wahai Umar? Dengan penuh semangat dan auranya, Umar pun memberitahulah niat dan tugas yang dipikulnya itu.

Si lelaki beriman ini pun berkata:

Awak mahu membunuh Muhammad? Sedang adik dan ipar awak sendiri telah menjadi Islam.

Apalagi tercabarlah Umar kerana diperkatakan begitu oleh lelaki beriman tersebut. Maka dia melencongkan niatnya untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w, fikirnya perlu selesaikan masalah ahli keluarga yang telah Islam terlebih dahulu.

Apakah yang akan berlaku?

*cerita sebab Umar ke rumah adiknya ada pelbagai versi. Versi satu lagi mengatakan bahawa, Umar r.a seolah-olah telah dihina oleh salah seorang anggota mesyuarat di Dar An-Nadwah dengan maksud tidak mahu Umar r.a dijadikan wakil pembawa tanggungjawab berat dan ‘mulia’ itu kerana adik Umar r.a telah pun Islam.

Isnin, Jun 22, 2009

Abu Bakr As-shiddiq 3

Ini dia pujian Allah s.w.t dan Rasul s.aw kepada Abu Bakr kerana kedermawanannya

Dan kelak akan dijauhkan orang yang paling bertaqwa dari mereka itu, yang menafkahkan hartanya dijalan Allah untuk membersihkannya, padahal tidak seorang pun yang memberi kan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya. Tetapi dia memberikan itu semata-mata kerana mencari keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan

Surah Al-Lail: 17-21

Sabda Nabi s.a.w:

Sungguh manusia yang paling banyak memberikan kesentosaan kepadaku dalam persabahatannya dan hartanya adalah Abu Bakr. Seandainya saya (diperintahkan) menjadikan kekasih, tentulah saya menjadikan Abu Bakr sebagai kekasih, tetapi yang ada hanyalah persaudaraan dalam Islam

Terharunya membaca kisah Abu Bakr r.a.. Dimanakah kita jika mahu dibandingkan dengan sahabat Nabi s.aw yang penuh dengan jasa dan pengorbanan ikhlas ini? Terasa berbeza sekali darjat di sisi Allah.

Betapa setianya Abu Bakr r.a kepada Nabi Muhammad s.aw dapat dilihat dalam peristiwa keberangkatan tentera Usamah bin Zaid yang telah dikirim Rasulullah sebelum baginda s.a.w wafat. Semasa kewafatan Nabi s.a.w, kebanyakan sahabat berpendapat supaya keberangkatan pasukan ini ditangguhkan sebentar (kerana keadaan umat Islam kurang stabil disebabkan terkejut dengan kewafatan Rasulullah). Tetapi Abu Bakr menjawab:

Demi Allah, seandainya saya diterkam binatang buas, maka saya tetap melepaskan pasukan Usamah sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah. Saya tidak menolak keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah. Seandainya di kampung itu sudah tiada orang selain dari saya, tentu tetap saya lepaskan tentera Usamah

Kemudian datang pula cadangan dari seorang sahabat iaitu Saad bin Abu Waqqash supaya menggantikan panglimanya dengan orang yang lebih tua dan berpengalaman. (Usamah bin Zaid baginya terlalu muda dan kurang pengalaman, walaupun dilantik Rasulullah). Maka Abu Bakr menjawab:

Adakah saya akan memecat seseorang yang telah dilantik oleh Rasulullah?..

Betapa hebatnya keimanan Abu Bakr r.a. Banyak lagi kisah kehebatan dan jasa Abu Bakr r.a dalam membantu mengembangkan ajaran Islam seperti memerangi golongan murtad dan enggan membayar zakat, menenangkan umat Islam semasa kewafatan Rasulullah dsb. Untuk mengetahui kisah selanjutnya.. Rujuklah apa-apa buku sirah yang sesuai. Atau bincanglah dalam usrah dan liqa’ masing-masing..

Di antara pengajaran yang sangat berkesan dihati penulis dalam kisah Abu Bakr r.a ini adalah betapa susah payahnya Umat Islam terdahulu memperjuangkan Islam supaya ia sampai kepada kita. Besarnya pengorbanan dan kegigihan umat sabiqunal Awwalun dalam menyebarkan Islam.. Semoga kita semua menghargai rahmat Allah yang menjadikan keikhlasan mereka menyebarkan agama sehingga kita juga dapat merasai nikmat keindahan Islam walaupun sudah berada jauh dari zaman mereka.

Khamis, Jun 18, 2009

Abu Bakr As-shiddiq 2

Kemuliaan Abu Bakr r.a juga dapat dilihat dalam peristiwa hijrah. Semasa turunnya perintah dari Yang Maha Pencipta supaya muslimin Makkah berhijrah ke Madinah, Abu Bakr r.a memohon keizinan dari baginda s.a.w untuk berhijrah tetapi ditahan. Kata Rasulullah s.a.w: Mungkin Allah akan menjadikan engkau sebagai teman. Maka fahamlah Abu Bakr r.a, beliau bakal menjadi teman Rasulullah s.a.w dalam hijrah baginda.

Di dalam peristiwa hijrah inilah kita dapat lihat betapa banyaknya pengorbanan Abu Bakr r.a, kemuliaan hati serta ketinggian iman yang ada pada beliau. Antaranya:

  • Beliau sanggup menemani Rasulullah keluar dari kepungan gerombolan orang kafir Quraisy di rumah baginda.
  • Semasa dalam perjalanan, Abu Bakr r.a memerintahkah anak beliau supaya menghantarkan makanan (Asma binti Abu Bakr) dan merisik perkembangan terkini mengenai perancangan orang Quraisy (Abdullah bin Abu Bakr).
  • Semasa berada di dalam gua persembunyian, Rasulullah tersedar terdapat lubang dan bimbang ada binatang yang akan keluar dan menggigit Abu Bakr r.a, apabila Abu Bakr r.a sedar, segera beliau tutupkan lubang tersebut dengan tumitnya.

Begitulah sedikit sebanyak pengorbanan Abu Bakr r.a dalam peristiwa hijrah. Mahu tahu yang lebih mengharukan? Semasa orang kafir Quraisy berada di muka gua dimana mereka bersembunyi, Abu Bakr sungguh bimbang sambil menahan nafas sehingga beliau menangis dan bercucuran keringat beliau. Sambil beliau berbisik kepada baginda: Jika mereka tunduk, pasti mereka akan melihat kita.

Bayangkanlah, setelah bersusah payah keluar dari kepungan orang Kafir Quraisy di rumah, berjalan beratus batu mengharung padang pasir, bersusah payah mengupah penggembala kambing untuk menutup jejak mereka, memilih jalan yang tidak biasa dilalui oleh pedagang Arab dari Makkah ke Madinah, akhirnya mereka seolah-olah terperangkap di dalam gua dan nyaris-nyaris dilihat oleh orang kafir Quraisy..

Berbeza dengan Rasulullah s.a.w, baginda sangat yakin dengan pertolongan dan kekuasaan Allah. Maka baginda s.a.w memujuk Abu Bakr dan berkata: Janganlah bersedih sesungguhnya Allah bersama kita.

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya ketika orang kafir (musyrikin Makkah) mengeluarkannya dari Makkah sedang dia salah seorang dari keduanya yang berada di dalam gua, diwaktu itu dia berkata kepada temannya: Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta dengan kita. Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepada Muhammad dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah rendah. Dan kalimah Allah itulah yang tinggi, Allah Maha Berkuasa lagi Maha bijaksana

Surah Taubah: 40

Dapatkah i/akhawat menjiwai peristiwa ini sepenuh hati? Bagaimana bimbang dan gentarnya Abu Bakr pada masa itu lalu ditenangkan Rasulullah dengan pujukan: Allah bersama dengan kita. Ya, diulangi, ALLAH BERSAMA DENGAN KITA..

Bahagianya berjuang dijalan Allah. Indah dan manisnya berkorban kerana Allah dan Rasul. Akhirnya, dua sahabat baik ini telah berjaya berhijrah ke Madinah walaupun Suraqah berusaha menangkap mereka kerana menginginkan janji ganjaran yang ditawarkan pembesar Quraisy kepada sesiapa yang berjaya membawa balik Muhammad s.a.w dan sahabatnya pulang ke Makkah.

Apakah lagi peranan penting Abu Bakr r.a? Atau dengan kata lain jasa-jasa dan kesan-kesan sejarah yang dilakar beliau..

Rabu, Jun 17, 2009

Abu Bakr As-shiddiq 1

Kisah ini disunting mengikut gaya penceritaan yang dirasakan mudah untuk penulis sampaikan. Jika i/akhawat merasa tidak selesa dengan gaya penceritaan yang di gunakan, maka boleh antum rujuk terus kepada buku 10 sahabat yang dijamin ahli syurga.

Abu Bakr r.a adalah sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang paling utama. Bahasa mudahnya kawan baik. Bahasa cantik sedikit, sahabat merangkap Menteri Penasihat Rasulullah s.a.w.

Peranan penting yang dimainkan Abu Bakr r.a bukan sahaja dalam hidup Rasulullah s.a.w, malah dalam kejayaan mengembangkan seruan Islam. Abu Bakr r.a merupakan sahabat pertama yang memeluk Islam. Sikap beliau yang suka membenarkan segala ucapan dan kata-kata Rasulullahlah menyebabkan baginda s.a.w memberikan gelaran kepada beliau sebagai As-Shiddiq. Gelaran ini diberi selepas Rasulullah pulang dari Isra mi’raj dikala seluruh orang kafir Quraisy tidak mempercayai kata-kata baginda s.a.w. Orang kafir Quraisy meragui bagaimana Rasulullah boleh berjalan merentasi Makkah hingga ke Masjid Aqsa dan naik ke langit dalam masa satu malam. Bagi mereka sesuatu diluar logik. Akan tetapi berbeza dengan Abu Bakr r.a, terus membenarkan segala cerita dan penerangan Nabi s.aw tanpa menangguh-nangguh masa.

Allah telah memuji Abu Bakr r.a dalam surah Az-Zumar ayat 33 yang berbunyi:

Dan orang-orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang membenarkannya, mereka itulah orang yang bertaqwa

Yang membenarkannya itulah Abu Bakr r.a.

Alangkah mulianya keimanan Abu Bakr r.a sehingga dipuji oleh Allah di dalam Al-Quran yang sentiasa dibaca oleh seluruh umat akhir zaman.

Apalagi kemuliaan yang terdapat pada Abu Bakr r.a? Beliau merupakan seorang peniaga yang berjaya. Sungguh banyak wang dan duit yang disimpan beliau semasa sebelum Islam (sebelum perutusan kenabian Rasulullah s.a.w). Buat pengetahuan semua, Abu Bakr r.a cuma muda dua tahun dan beberapa bulan dari Rasulullah. Baiklah kembali kepada kisah wang simpanan Abu Bakr r.a tadi, simpanan itu mencecah 40 ribu dirham. Itulah wang yang dibelanjakan dan didermakan beliau untuk membantu Islam dan Muslimin yang lemah dari segi ekonomi.

Selain itu, terdapat seramai 7 orang (hamba mukmin yang juga) sahabat Nabi s.a.w telah dimerdekakan oleh beliau termasuklah Bilal bin Rabah dan Amir bin Furaihah.

Selasa, Jun 16, 2009

10 sahabat dijamin ahli syurga

Apabila menyebut 10, maka yang terbayang adalah 10 muwasofat tarbiyyah (ciri generasi rabbani). Atau 10 nama hari qiamat, yang dahsyat sedikit, sepuluh budak hitam main tepi kolam (lagu zaman tadika dahulu)..

Kali ini penulis ingin mengetengahkan insan-insan yang telah popular suatu masa dahulu dai dunia ini. Bukan sahaja popular di dunia, tetapi juga di akhirat kelak. Mereka popular bukan kerana dosa dan perpecahan rumah tangga atau kerana kemerduan suara, atau kerana kekacakkan wajah mereka atau kerana kehandalan berlakon dalam filem-filem aksi yang blockbuster. Mereka popular kerana Iman mereka kepada Allah. Mereka disanjung kerana pengorbanan dan sumbangan mereka kepada perkembangan dakwah Islam.

Siapakah mereka? Mereka itulah 10 sahabat Nabi s.a.w yang dijamin menjadi ahli syurga. Siapakah yang tidak mengimpikan jaminan seperti ini? Dalam siri yang akan datang, kita akan lihat satu persatu, apakah ciri-ciri dan sifat yang ada pada setiap sahabat ini sehingga mereka dijamin sebagai ahli syurga.

“Dari Abdul Rahman bin Auf; telah bersabda Nabi s.a.w, Abu Bakr di dalam syurga Umar di dalam syurga, Usman di dalam syurga, Ali di dalam syurga, Talhah di dalam syurga, Zubair di dalam syurga, Abdul Rahman di dalam syurga, Saad bin Waqas di dalam syurga, Said bin Zaid di dalam syurga dan Abu Ubaidah di dalam syurga”

HR Tirmizi.

Tulisan ini berpandukan buku karangan Muhammad Ali Quthb yang ditelah diterjemah ke dalam bahasa Malaysia bertajuk 10 sahabat dijamin ahli syurga (Terbitan pustaka Nasional Singapura). Selamat membaca.