Jumaat, Julai 31, 2009

Rehlah Pelajar Baru Meriah!

Kuantan, 26 Julai - Bertempat di Hutan Lipur Berkelah yang terletak kira-kira 30km dari bandar Kuantan, PEMBINA Cawangan Kuantan telah berjaya mengadakan perkelahan bagi menyambut pelajar baru yang menyambung pengajian di sekitar Kuantan. Program ini bertujuan memperkenalkan PEMBINA pada pelajar-pelajar baru, memupuk ukhuwwah Islamiyah dan kembali memuhasabah diri tentang tanggungjawab sebagai pemuda Islam. Kira-kira 30 orang pelajar telah turut serta bersama berMABIT sehari sebelumnya. MABIT dimulakan dengan pengisan yang disampaikan oleh Ust. Norman yang banyak berkisar tentang keperluan untuk para pemuda sentiasa membersihkan jiwa (Tazkiyatunnafs) dari noda dosa dan maksiat. Kemudian kira-kira jam 5 pagi para peserta bangun bersama-sama untuk mengerjakan ibadah qiyamullail dan diteruskan pula dengan solat subuh berjemaah. Disusuli pula dengan tazkirah subuh yang telah disampaikan oleh Saudara Buraidah Aslami Rushdan sedikit sebanyak membuatkan para peserta kembali merenung tentang sejauh manakah mereka telah berperanan dalam menyebarkan risalah Islam.

Pada jam 8.30 pagi para peserta mula berkonvoi ke tapak perkelahan dan sebelum memulakan pendakian ke tempat perkelahan para peserta dihidangkan dengan kisah sahabat Mus'ab bin Umair, Saad b Abi Waqas, Uwais al-Qarni dan Mu'adz b Jabal. Kesemua sahabat yang sengaja dipilih, adalah terdiri dari para pemuda yang berjuang demi menegakkan agama Islam dengan harapan para peserta dapat mengambil pengajaran dari kisah tersebut. Tiba di tapak, para peserta didedahkan dengan aktiviti air yang banyak membina ikatan ukhuwwah di kalangan peserta. Biarpun baru pertama kali bersua, namun hubungan antara peserta seolah-olah telah lama bersahabat.
Alhamdulillah objektif yang digariskan berjaya dicapai. Dengan ini pihak PEMBINA Cawangan Kuantan ingin menyeru para pemuda di sekitar Kuantan untuk kita bersama-sama berganding bahu demi mengembalikan peranan pemuda Islam sepertimana di zaman Rasulullah SAW dan dengan penuh sedar kita bangun untuk bersama saf PEMBINA dalam membawa risalah Islam.

Wallahu'alam.

Rabu, Julai 29, 2009

A little reminder...

Dari Anas r.a katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Akan sampai masanya nanti, yang mana orang yang sabar berpegang teguh kepada agamanya sama seperti orang yang memegang bara api."(HR Tirmizi).

Dari Sa'ad r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kelak akan muncul suatu kaum yang mereka melampau(menunjuk-nunjuk dalam berdoa." (HR Ahmad).

Isnin, Julai 20, 2009

Ahli PEMBINA Peserta Terbaik Kembara Dakwah JAKIM


MOHD HAMDAN dan Nurhazwani peserta terbaik Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jakim.



TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz bermesra dengan peserta Kembara Dakwah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program Kembara Dakwah dedahkan belia strategi terbaik sebar syiar Islam

INGINKAN keputusan cepat, kadangkala terlalu ekstrem dan hendakkan nama menyebabkan gerakan dakwah tidak dapat berkembang dengan berkesan. Suka menuding jari tanpa melakukan apa-apa juga satu ancaman kepada gerakan dakwah.

Justeru, peserta terbaik Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Hamdan Mohd Sharif, 23, mengajak pelbagai persatuan menggembleng tenaga melakukan dakwah ikut kemampuan.

"Semua pihak sama ada individu, persatuan atau organisasi saling melengkapi. Apa juga aliran dakwah, kita boleh menyumbang mengikut kemampuan supaya gerakan ini dilaksanakan dengan berkesan. Islam dan ajarannya tidak boleh dikembangkan kerana sifat nafsi dan suka menunjuk 'akulah yang terbaik' selain tidak mahu memahami orang lain," katanya.

Ahli Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (Pembina) itu berkata, Kembara Dakwah selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu memberi banyak maklumat kepada peserta untuk melihat kaedah dakwah dijalankan Jakim.

Pada masa sama, peserta mengalami serta menghayati pengalaman berdakwah yang dilaksanakan Rasulullah SAW iaitu berjumpa orang di luar sana untuk mengajak kepada kebenaran serta kebaikan.

"Kami bukan saja berpeluang bertemu masyarakat Islam, tetapi juga bermesra dengan bukan Islam dan menjalankan dakwah bil hal iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain, berkongsi cerita dan pengalaman dengan saudara baru," katanya.

Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 dikendalikan Bahagian Dakwah Jakim bertujuan memberi pendedahan kepada kepemimpinan belia mengenai pelaksanaan program dakwah di negara ini.

Pengisian program ialah melatih belia, memantapkan sahsiah meliputi akidah, syariah dan akhlak serta meningkatkan jalinan dua hala antara kepemimpinan belia dalam bidang dakwah bagi meningkatkan syiar Islam.

Seramai 50 peserta menyertai program ini terdiri daripada pemimpin persatuan beliau dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLiUC), Darul Quran Jakim, Kolej Darul Hikmah (KDH), Pembina dan Persatuan Belia Masjid Selangor.

Antara lokasi kembara ialah Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Perkampungan Orang Asli Sungai Melut Sepang, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Pusba) Sungai Petani dan Masjid Al-Bukhary.

Bagi peserta terbaik wanita pula, Nurhazwani Abd Rani, 23, penyertaan wanita dalam program itu bakal melahirkan lebih ramai pendakwah untuk mendekati kaum sejenis. Mengakui cabaran dihadapi pendakwah wanita, pelajar jurusan Pendidikan itu berkata, ia bukan halangan untuk wanita asal menjaga syariat dan batasan agama.

"Untuk bawa diri di kalangan pendakwah lelaki yang mendominasi bidang ini bukan senang, tetapi Islam tidak mengharamkan pergaulan lelaki dan wanita. Kita juga perlu menjaga batasan supaya niat yang baik tidak bertentangan dengan syariah," katanya.

Beliau berkata, hakikat pendakwah wanita tidak ramai juga menjadikan penyertaan mereka dalam Kembara Dakwah itu penting kerana wanita mudah memahami serta mendampingi belia wanita yang menjadi kumpulan sasaran. Mereka juga menggunakan pendekatan kita mungkin lebih berhikmah.

Nurhazwani berharap persepsi pendakwah milik orang tertentu dan wanita perlu berjubah serta bertudung labuh dapat diperbetulkan kerana setiap yang mengucap syahadah adalah pendakwah.

Katanya, semua mampu menyampaikan dan mengajak kepada kebaikan. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak supaya syiar Islam terus disebar dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.

"Apabila lihat saudara baru saya dapat rasakan mereka ikhlas berpegang kepada Islam dan kisah mereka mendapat hidayah Allah membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim," katanya menceritakan pengalaman manis bermesra dengan saudara baru di Pusba.

Pengarah Dakwah Jakim, Abd Halid Sintol, berkata maklum balas diberikan peserta menampakkan usaha menggerakkan belia kepada suasana kemasyarakatan mencapai matlamat. Modul kepemimpinan yang menekankan semangat silaturahim dan ukhuwah berjaya meningkatkan kepemimpinan peserta sebagai pelapis dalam gerakan dakwah masa akan datang.

"Pengisian program juga sesuai dengan mereka termasuk acara serta aktiviti bersifat ilmiah, tazkirah dan bersifat sahsiah seperti gotong-royong dan sukaneka," katanya.

Tanpa menafikan pendekatan dakwah perlu fleksibel, Abd Halid berkata, Jakim sentiasa menganalisis pengisian dan strategi sesuai bagi belia terbabit dakwah.

Katanya, memahami jiwa remaja yang sukakan keseronokan, Bahagian Dakwah Jakim mendedahkan dakwah bukan saja dengan perkataan, malah melalui tindakan yang boleh mempengaruhi sasaran untuk menerima dakwah mereka.

"Belia adalah zaman penuh cabaran dan perlu pendekatan berbeza. Kita guna pendekatan menyeronokkan. Jika jumpa kumpulan remaja, senyum dan beri salam seperti dianjur Islam," katanya.

Beliau berkata, Jakim berhasrat meneruskan Kembara Dakwah dengan pengisian lebih menarik dan penyertaan lebih ramai sebagai pendekatan mengembangkan sayap dakwah kepada kumpulan sasaran remaja dan belia.

RUJUKAN

Jumaat, Julai 10, 2009

Ali bin Abi Talib (karamallahuwajhah) 4

Seperti Abu Bakr r.a, Umar r.a, dan Uthman r.a; Ali r.a juga telah dimuliakan Allah dengan salah satu penurunan ayat Quran: Surah Al-Insan ayat 7 hingga 12.

“Mereka menunaikan nazar dan takut suatu hari nanti azabnya merata-rata”

“dan mereka memberi makanan yang disukai kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan”

“Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengarap keredaan Allah. Kami tidak mengharapkan balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih”

“Sesungguhnya kami takut akan azab suatu hari yang mana dihari itu orang-orang bermuka masam penuh dengan kesulitan yang datang dari Tuhan kami”

“Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu dan memberikan mereka kejernihan wajah dan kegembiraan hati.

“Dan dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran meraka dengan syurag dan pakaian sutera”

Ali r.a bernazar untuk berpuasa tiga hari kerana Allah jika anaknya sembuh dari sakit. Maka setelah sembuh, setiap kali beliau dan Fatimah mahu berbuka puasa, ada sahaja insan yang datang memohon makanan. Mereka tetap memberikan, walaupun mereka juga tidak punya lebihan makanan untuk dimakan untuk berbuka.

Rabu, Julai 08, 2009

Ali bin Abi Talib (karamallahuwajhah) 3

Jika i/akhawat membelek buku 10 sahabat dijamin ahli syurga ini ke muka surat 95, antum akan mendapati satu sub-tajuk iaitu perkahwinan bahagia. Ali r.a telah berkahwin dengan puteri paling bongsu Rasulullah s.a.w, iaitu Fatimah. Cuba kita selak kembali kelebihan-kelebihan yang ada pada pemuda bijak ini. Ali r.a adalah sepupu Rasulullah, dijaga oleh Rasulullah dan akhirnya berkahwin dengan puteri Rasulullah. Alangkah bahagia dan indahnya hidup yang sentiasa dekat dengan Nabi s.a.w. Perkara yang lebih memberi makna lagi, apabila Fatimah telah memberikan beberapa cahaya mata hasil dari perkahwinan dengan Ali r.a. Hassan, Husain, Zainab dan Umi Kalthum. Hassan dan Husain sangat disayangi Rasulullah s.aw. Pernah suatu ketika, Hasan dan Husain bermain-main di sekitar Rasulullah ketika baginda sedang solat. Semasa baginda sujud, mereka telah naik di atas belakang baginda dan baginda s.a.w tidak bangun sehinggalah mereka turun. Penyayang sungguh Nabi kesayangan kita ini.

Kisah ini bakal dicoret, penulis dapati dari sebuah ceramah:

Fatimah telah datang kepada Rasulullah dan mengadu untuk meminta pembantu rumah. Dirasakan sungguh berat bagi Fatimah untuk melakukan seorang diri. Pernahkah i/akhawat melihat mesin giling tepung zaman dahulu kala? Ia memang besar dan berat untuk dikawal seorang diri, lebih-lebih lagi seorang wanita. Jika Ali r.a ada di rumah, maka Ali r.a akan membantu, walau bagaimanapun, Ali r.a bukanlah berada sepanjang masa di rumah. Jawapan Rasulullah kepada Fatimah adalah: Mahukah kamu aku berikan yang lebih baik dari pembantu? Itulah dia bertakbir 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertasbih 33 kali sebelum tidur.. Pulanglah Fatimah bersama ‘pembantu’ yang telah diajarkan bapanya itu.

Isnin, Julai 06, 2009

Ali bin Abi Talib (karamallahuwajhah) 2

Masih ingatkah i/akhawat mengenai peristiwa Badar? Pasukan yang dikerahkan Rasulullah dengan tujuan untuk menyekat kafilah dagang Abu sufyan tetapi berakhir dengan sebuah peperangan? Umat Islam telah menang besar dalam peperangan tersebut, walaupun jumlah umat Islam dalam peperangan tersebut hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah kaum Musyrikin.

Sebelum berlakunya peperangan, telah berlaku satu perang tanding dipermulaan di mana, orang kafir Quraisy menghantar 3 wakil dan kaum muslimin juga menghantar 3 wakil untuk beradu. Wakil kafir Quraisy: Syaibah bin Rabiah, Utbah bin Rabiah dan Walid bin Utbah. Manakala wakil dipihak muslimin adalah: Ali bin Abu Thalib, Hamzah bin Abdul Muthalib dan Ubaidah bin harith. Umat Islam memenangi perang tanding ini. Inilah bukti sumbangan kekuatan pemuda (Ali r.a) dalam peringkat awal penyebaran Islam.

Dalam sebuah peperangan lain iaitu perang Khaibar. Ini adalah peperangan di antara kaum muslimin dengan puak Yahudi Madinah yang telah dihalau keluar dari Madinah. Para yahudi telah bersatu dan membina sebuah kubu di satu tempat yang bernama Khaibar. Kubu ini sungguh kuat. Setelah berhari-hari umat Islam mengepung kubu tersebut, ia masih belum dapat di tembusi.

Sehinggalah Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya pada pagi esok, akan saya berikan bendera kepada orang yang sangat menyenangi Allah dan Rasul-Nya sertai dia juga disukai Allah dan Rasul-Nya dan Allah akan memberi kemenangan dengan kekuasaan-Nya.”

Mendengar sabda Rasulullah itu, semua sahabat pun beranganlah berharap dialah orang yang dimaksudkan baginda s.a.w. Rupa-rupanya orang tersebut adalah Ali bin Abi Thalib (Beliau sedang sakit mata pada masa itu). Apabila Rasulullah mengusapkan kedua belah matanya, sembuhlah sakit beliau dan terus membawa bendera menerobos pintu kubu Khaibar. Begitu sempurna Ali r.a mengatur langkah menerobos satu persatu lapisan kubu orang Yahudi yang sekian hari bertahan.

Sabtu, Julai 04, 2009

Ali bin Abi Talib (karamallahuwajhah) 1

Bagi penulis, Ali r.a adalah sahabat Nabi s.a.w yang paling comel kerana dialah pemuda pertama yang memeluk Islam. Ali adalah sepupu Rasulullah s.a.w, anak kepada Abu Thalib. Dan lebih istimewa, Ali berada di bawah jagaan Nabi kesayangan kita Muhammad s.a.w.

Diawal pengislaman, Ali sangat takut jika ayahnya mengetahui dia telah bertukar kepada Islam. Tetapi akhirnya ayah Ali berkata: “Ingatlah bahawa Muhammad tidak mengajak engkau melainkan hanya kepada kebaikan, maka turutilah, dan tetaplah mengikuti agamanya”. Sudah tentulah Ali r.a sangat gembira dengan kenyataan ini.

Selain Abu Bakr r.a yang terlibat secara lansung dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w, Ali r.a juga terlibat. Malah peranannya juga dianggap penting dan utama. Semasa kaum kafir Quraisy bersepakat mengepung rumah baginda s.a.w dengan pedang terhunus, Rasulullah telah keluar senyap-senyap melalui pntu belakang rumah sambil membaca ayat 9 dari surah yasin dan meninggalkan Ali r.a tidur tempat tidur Rasulullah s.a.w..

Setelah matahari terbit dan kaum musyrikin Quraisy masuk ke dalam rumah Rasulullah untuk membunuh Nabi s.a.w, tetapi hampa apabila melihat yang berada dikatil baginda adalah Ali r.a. Mujurlah mereka memeriksa dahulu siapa yang sedang tidur di atas katil tersebut. Jika tidak sudah tentu Ali sudha lama syahid dibunuh mereka. Apakah sembarangan pemuda yang sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan orang yang lebih tua dari dirinya? Perkara biasa diketahui semua, pemuda adalah manusia yang masih mahu berseronok dan merasakan mati itu masih jauh. Tetapi berbeza sungguh keadaan dengan Ali r.a. Cerita ini telah membuktikan keberanian pemuda dan belia yang beriman kepada Allah. Dan inilah di antara bukti-bukti yang menunjukkan Islam sangat mengiktiraf pemuda dan belia. Sumbangan mereka sangat dihargai.

Khamis, Julai 02, 2009

Uthman bin Affan ( Zu nur ain) 4

Seterusnya, Uthman r.a telah diangkat menjadi Khalifah Umat Islam setelah syahidnya Umar Al-Khattab. Pada zaman Uthman r.a, agama Islam semakin berkembang dan tersebar. Dan perkara yang paling diingati penulis adalah pembukuan Al-Quran secara sistematik dan tersusun pada zaman pemerintahan Uthman r.a. Langkah pembukuan Al-Quran dilakukan apabila ramai para huffaz Al-Quran dikalangan sahabat syahid di medan perang. Mereka khuatir Al-Quran hilang dari masyarakat Islam.

Jika i/akhawat mengikuti perkembangan sejarah di zaman Uthman r.a menjadi khalifah, terdapat banyak penyelewengan fakta berlaku. Maka penulis menasihatkan, i/akhawat memilih dengan baik bahan-bahan yang dijadikan bacaan, supaya mampu membezakan fakta yang sebenar atau rekaan puak-puak tertentu.

Misalnya kisah Uthman r.a sangat pilih kasih dengan Muawiyyah dan kaum kerabat beliau. Itu semua telah diputar belit oleh golongan tertentu supaya Uthman r.a kelihatan sangat teruk semasa memimpin. Begitu juga dengan Muawiyyah. Beliau difitnah dengan pelbagai cerita palsu oleh golongan penulis tertentu. Begitu juga dengan cerita Abdullah bin Umar terlibat dalam pembunuhan Uthman r.a (yang sebenar dibunuh oleh kaum pemberontak yang diketuai oleh Abdullah bin Saba).

Sebagai penutup cerita Uthman r.a, beliau syahid dibunuh kaum munafiqin yang telah berjaya menyebarkan fitnah dikalangan umat Islam pada masa itu. Sebenarnya, mereka bukan sahaja berjaya mengelirukan umat Islam pada masa itu, bahkan kita juga telah diputar belitkan dengan cerita-cerita fitnah dan tokok tambah yang telah mereka lakukan.

Rabu, Julai 01, 2009

Uthman bin Affan ( Zu nur ain) 3

Pada suatu musim kering di Madinah, umat Islam telah kekurangan bekalan air. Bayangkan sahaja negeri padang pasir pada zaman tersebut. Nama pun sudah dipanggil negeri padang pasir. Jadi bolehlah kita fahami keadaannya, apabila disebut musim kering di Madinah. Sudahlah hujan turun jarang-jarang pada musim biasa, maka apatah lagi pada musim kering. Walaupun muslimin ansar mempunyai sumur-sumur air, tetapi tidak cukup untuk menampung seluruh umat Islam di Madinah. Maka mengadulah mereka kepada Rasulullah s.a.w.

Buat pengetahuan semua, pada masa tersebut terdapat sebuah sumur yang sangat banyak airnya dimiliki oleh orang Yahudi Madinah. Nama sumur tersebut adalah sumur Ruumah. Tapi tahu sajalah, masakan orang Yahudi Madinah akan memberikan secara percuma kepada para sahabat? Sudah tentu jauh panggang dari api. Kata orang, tunggu bulan jatuh ke ribalah jika mahu mengharap pertolongan orang Yahudi.

Setelah menerima banyak pengaduan dari kaum muslimin, Rasulullah pun membuat tawaran kepada muslimin yang berada dalam majlis baginda. Sesiapa yang membeli sumur Ruumah akan diberi syurga. Dengan segera Uthman r.a membeli sumur tersebut dan mewakafkannya kepada umat Islam.

Inilah yang disebut dalam surah At-Taubah ayat 111.

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, diri mereka dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang dijalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar dari Allah dalam taurat, Injil dan Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu. Demikianlah kemenangan yang agung”

Selain itu, pernah juga Uthman r.a ditawarkan untuk menjualkan barang-barangnya kepada segolongan pedagang Madinah. Pada masa itu, pasar-pasar menjadi sunyi, dan kosong dari bahan makanan, manusia menderita kesusahan dan kelaparan. Barang-barang (milik Uthman r.a) tersebut adalah barang dagangan yang bermacam-macam dari negeri Syam. Walau bagaimanapun, Uthman r.a tidak mahu menjualkan barang tersebut kepada mereka. Sehingga, para pedagang itu menawarkan keuntungan kepada Uthman r.a sebanyak 8 kali ganda.

Akhirnya Uthman r.a berkata “Allah s.w.t sanggup memberikan kepada saya keuntungan yang lebih berlipat kali ganda dari yang anda tawarkan”

Kemudian, Uthman r.a membahagikan segala yang ada kepada kaum muslimin yang memerlukan pada masa itu..

Alangkah pemurahnya Uthman r.a..