Rabu, Oktober 21, 2009

Izinkanlah daku mencintai-Mu semampuku



Tuhanku,

Aku masih ingat,
saat pertama dulu aku belajar mencintai-Mu
Tarbiyyah demi tarbiyyah kuterima,
untai demi untai kalimah para ustaz kuresapi.
Tentang cinta para nabi,
tentang kasih para sahabat,
tentang muhabbah para solehin,
tentang kerinduan para syuhada...
Lalu kutanam di jiwa dalam-dalam,
kutumbuhkan dalam mimpi idealisme yang
mengawang di awan.

Tapi Tuhanku...

Berbilang hari demi hari
tahun demi tahun berlalu,
aku masih juga tidak menemukan
cinta tertinggi untuk-Mu,
aku makin merasakan
gelisahku memadai dalam cita yang mengawang,
sedang kakiku mengambang,
hingga aku terhempas dalam jurang dan kegelapan.

Allahu Rahiim,
Illahi Robbii...
Perkenankanlah aku
mencintai-Mu semampuku….
Dengan segala kelemahanku.

Ilaahi...

aku tak mampu mencintai-Mu
dengan kesabaran menanggung derita
Umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga Al-Mustafa
Kerana itu
izinkan aku mencintai-Mu
melalui keluh kesah pengaduanku pada-Mu,
atas derita batin dan jasadku,
atas sakit dan ketakutanku...

Ilaahii…..

Aku tak mampu mencintai-Mu
seperti Abu Bakar,
yang menginfakkan seluruh hartanya dijalan-Mu
dan meninggalkan hanya Engkau dan Rasul-Mu
bagi diri dan keluarganya.
Atau layaknya Umar
yang menyerahkan separuh hartanya demi jihad.
Atau Ustman
yang menyerahkan 1000 ekor kuda
untuk syiar Deen-Mu

Ilaahii...

Izinkanlah aku mencintai-Mu,
melalui kepingan kepingan yang terulur pada tangan - tangan kecil di bahu jalan,
pada mereka yang menadah tangan memohon sumbangan.
pada makanan-makanan yang terkirim ke handai taulan.

Illaahi...

Aku tak mampu mencintai-Mu
dengan khusyuknya solat sahabat nabi-Mu,
hingga tidak terasa panahan musuh terhujam di kakinya.
Kerana itu Ya Allah,
perkenankanlah aku tertatih menggapai cinta-Mu,
dalam solat yang cuba kudirikan
dengan terbata-bata,
meski ingatan terkadang melayang
ke pelbagai permasalahan dunia...

Ilaahii...

Aku tak mampu beribadah
seperti orang-orang soleh
yang membaktikan seluruh malamnya
untuk bercinta dengan-Mu
dalam satu putaran malam.
Maka Ya Allah...
Perkenankanlah aku mencintai-Mu
melalui satu - dua rakaat solat lailku,
atau sekadar sunnah nawafilku,
dan selembar dua lembar tilawah harianku
Juga lewat lantunan ayat ayat hafalanku...

Ya Rahiim...

Aku tak mampu mencintai-Mu
seperti para syuhada,
yang menjual dirinya demi jihad untuk-Mu...
Maka perkenankanlah aku mencintai-Mu
dengan mempersembahkan sedikit bakti dan pengorbanan
untuk dakwah-Mu,
dengan sedikit pengajaran
bagi tumbuhnya generasi baru

Allah Ya Kariim...

Aku tak mampu mencintai-Mu di atas segalanya,
atas segala kelemahanku,
ampunilah daku Tuhan...

Maka dengan itu
izinkanlah aku mencintai-Mu
dengan mencintai keluargaku,
membawa mereka pada nikmatnya hidayah dalam naungan Islam,
manisnya iman dan ketabahan.
dengan mencintai sahabat-sahabatku,
mengajak mereka untuk lebih mengenal-Mu,
dengan mencintai manusia dan alam semesta

Perkenankanlah aku mencintai-Mu
semampuku, Ya Allah...

Agar cinta itu sentiasa mengalun dalam jiwaku
Agar cinta itu sentiasa mengalir di sepanjang urat nadiku
Agar cinta itu sentiasa mekar dalam lubuk sanubariku





oleh : Azimah Rahayu
dalam buku : Hari Ini Aku Makin Cantik


qalbussalim
2 Zulqaedah 1430



Khamis, Oktober 15, 2009

Ini semua tentang bisnes dan promosi

Anda telah memiliki pelbagai koleksi buku? Ia perlu ditambah!

Anda hanya biasa membaca novel? Masa untuk beralih kepada bahan bacaan yang lebih matang!
Anda sentiasa membaca suratkhabar sahaja? Ayuh kita cuba dengan bahan bacaan berbentuk buku pula.

Jumlah sedeqah seumur hidup masih membimbangkan? Jom membeli sambil menderma di Gerai PEMBINA Pahang yang akan dibuka pada:

Tarikh : 16 September 2009 - 18 September 2009
WAktu : 9 pagi - 10 malam

Selain buku-buku bacaan masa lapang (tidak semestinya masa lapang sahaja, mungkin boleh menjadi bacaan wajib untuk anda juga!);

t-shirt untuk muslimah aktif juga bakal dijual..

Eh apa itu NAWAR?

Eh? Ini tshirt muslimah ke muslimin? Sudah tentulah t-shirt para pemuda pejuang agama. Terdapat pelbagai lagi warna menarik yang sesuai untuk para daei. MERAH, PUTIH, OREN, HIJAU dan HITAM (yang diatas: kelabu)

Apakah itu Brotherhood?
Menutup aurat, selesa, selamat di dunia dan akhirat.. Mai-mai beli naa


Barang-barang terpilih dari SABA ISLAMIC MEDIA juga akan turut dijual

Ayuh datang memeriahkah IIUM KUANTAN FESTIVAL (I-QUEST) dengan berkunjung ke Gerai Jualan PEMBINA Pahang yang menyewa di salah satu tapak jualan I-Quest di Kampus UIA Kuantan.

Jom datang beramai-ramai.. Peluang membeli sambil menderma terbuka luas.

Catatan kaki: Insya Allah hasil jualan akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang mendidik masyarakat selain dari membayar sewa tapak..

Sabtu, Oktober 03, 2009

Pelajar Muslim Contoh

PELAJAR MUSLIM CONTOH

Oleh: Ustaz Mustafa Masyhur Rahimullah



Dia hendaklah mengutamakan menerima pelajaran terus daripada guru-gurunya dan jangan sekali-kali tidak hadir kelas kecuali berlakunya keuzuran yang kuat. Fikirannya hendaklah sentiasa di dalam keadaan yang ‘alert’ dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya ketika mengikuti pengajaran guru, tidak terganggu dengan urusan yang lain, kerana jika ajaran guru tersebut dapat dikusai maka ini akan dapat membantunya di dalam pembelajaran. Banyak perbezaan yang dia alami jika tidak menghadiri kelas atau tidak mengambil berat kuliah daripada guru, tentunya ada di setengah-tengah tempat yang kurang jelas atau tidak betul-betul difahaminya. Adalah lebih baik jika jika dia membaca pelajaran tersebut sebelum disyarahkan oleh gurunya. Ini akan memberikannya penguasaan yang baik dan dapat memberikan tumpuan pada aspek pelajaran yang kurang faham.


Dia hendaklah tahu bahawa kebanyakan pelajaran itu ada hubungan di antara satu sama lain. Pada kebiasaannya sesuatu pelajaran itu sukar difahami jika pelajaran yang sebelumnya tidak difahami dengan baik. Oleh itu jangan ada pelajaran yang tidak difahaminya. Jika ini berlaku, maka segeralah berjumpa dengan guru-guru atau kawan-kawan.


Untuk memudahkannya mengusai seluruh pelajaran, di akhir tahun dia perlu membuat ringkasan bagi setiap bab dan isi-isi yang pokok dan yang cabangnya dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami. Dibuat rajah yang besar bagi setiap mata pelajaran dan diingatkannya baik-baik, manakala penghuraiannya adalah sebagai isinya yang menutup rangka yang kasar itu. Setiap isi itu akan melekat di atas rangkanya. Jika tidak ada rangka yang kasar tersebut, isi-isinya akan bercampur baur sesama sendiri menyebabkan badan manusia tidak terbentuk. Hendaklah dia yakin kepada dirinya bahawa percubaaan ini adalah percubaaan yang berjaya.


Penuntut Muslim contoh hendaklah berusaha supaya dapat menguasai pelajarannya dan mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaan mengatasi pelajar lain. Ini merupakan perkara yang dituntut dan satu kewajipan yang akan mengembirakan kedua ibu-bapanya. Dia juga perlu membuktikan bahawa penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan sekali-kali mengganggu pelajarannya bahkan mendorongnya mengatasi kawan-kawannya yang lain. Ini juga adalah sebagai salah satu bentuk dakwah kepada kawan-kawan supaya mereka tidak bimbang penglibatannya dalam gerakan Islam tidak akan mengganggu pelajaran dan masih boleh mencapai keputusan yang baik. Tetapi jika penuntut Islam tidak mencapai keputusan yang baik di dalam peperiksaannya, ini akan menyebabkan kedua ibubapanya melarangnya daripada melibatkan diri di dalam kerja-kerja dakwah.



Penuntut Muslim hendaklah sentiasa di dalam keadaan zikrullah dan meminta perlindungan daripada godaan syaitan. Segala amalan, belajar, menjawab di dalam peperiksaan hendaklah dimulakan dengan membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim dan memohon pertolongan daripada Allah. Dia hendaklah menunaikan kewajipan terhadap pelajaran dan mengulangkajinya, kemudian bertawakal kepada Allah, memulakan peperiksaan dengan hati yang tandus, Zenerima keputusan dengan mengucap Bismillah dan bersyukur kepada Allah sekiranya Berjaya dan kembalikan segalanya itu kepada Allah di atas pertolongan dan taufikNya. Jika sebaliknya berlaku, janganlah disempitkan perasaan dan jangan berdukacita dan katakana ini adalah ketentuan Allah dan apa yang Allah kehendaki. Dia boleh melakukannya dan akan berusaha lagi dengan penuh keazaman dan ketenangan.


Penuntut perempuan Islam hendaklah berpegang dengan apa yang tersebut dahulu iaitu hendaklah dia mejaga sifat kewanitaannya dan berpegang teguh dengan adab-adab Islam seperti berpakaian Islam yang sempurna dari segi rupa bentuknya dan menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang iaitu dari berbagai jenis perhiasan yang dilarang. Dia hendaklah menjaga dirinya dari tempat yang menimbulkan keraguan dan percampuran, mengangkat suara tinggi, ketawa kuat dan lain-lain sifat yang tidak layak bagi penuntut Islam contoh. Dia hendaklah berpegang kepada adab malu, bijak dalam memilih kawan perempuan serta mendalami masaalah agama terutama yang berkaitan dengan perempuan. Dia hendaklah melaksanakan peranannya sebagai pendakwah kepada kawan-kawannya.


[Diambil dari buku Suri Tauladan Di Sepanjang Jalan Dakwah oleh Ustaz Mustafa Masyhur Rahimullah]

Terjemahan : Dr Azmi Md Nor

Jumaat, Oktober 02, 2009

Akhlak Mulia Wanita Membantu Keharmonian Bangsa

Salam dihulur pada semua khususnya yang bergelar wanita. Hari ini kaum Hawa mungkin telah berpuas hati kerana mereka sudah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Jawatan-jawatan negara selain Perdana Menteri sudah mampu dijawat oleh kaum wanita kita. Malah ramai wanita-wanita Malaysia telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Tetapi mari kita curi sekelumit masa untuk merenungkan dimanakah sebenarnya kehebatan, kemuliaan, ketinggian dan kepentingan seorang wanita itu? Adakah jawatannya, kedudukannya, kebijaksanaannya, atau kelincahannya yang patut dijadikan kayu pengukur?

Tuhan dan Rasul-Nya menilai kemuliaan seorang wanita pada akhlaknya. Akhlak mulia bagaikan bunga penyeri taman. Ada satu tugas dan peranan yang cukup penting yang perlu dimainkan oleh semua wanita iaitu mewujudkan keharmonian, ketenangan, kasih sayang dan kedamaian, bermula dari diri, rumahtangga hinggalah kepada masyarakat dan negara.

Tugas ini mungkin kurang besar dari sudut jawatan tetapi sangat penting dari segi peranannya. Sesuatu bangsa akan punah dan musnah apabila wanita sudah hilang malunya kerana apabila hilang malu, akan hilanglah juga akhlak bagi dirinya.

Wanita yang dihiasi akhlak mulia seperti yang dituntut oleh Tuhan akan memastikan rumahtangga terurus dan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Anak-anak akan merasa bahagia dengan keluarganya, manakala suami akan terhibur dengan isteri yang tinggi akhlaknya. Lalu akan wujudlah keharmonian di dalam rumahtangga. Apabila banyak keluarga yang harmoni maka akan tercetuslah masyarakat yang harmoni dan dari situ pula akan lahirlah bangsa yang harmoni.

Hari ini di sebalik kemajuan yang begitu tinggi, masyarakat sudah hilang kasih sayang sedangkan kasih sayang adalah makanan jiwa. Ibu dan anak sudah tidak berkasih sayang, antara murid dan guru juga sudah tiada kasih sayang bahkan hilang kemesraan. Antara pekerja dan majikan turut tiada kasih sayang bahkan hilang kemesraan apatah lagi ikatan hati. Jika begitu di mana keharmonian dan kebahagiaan? Puncanya ialah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan. Bila kehilangan Tuhan, segala-galanya hilang. Wanita telah hilang malu dan maruah dirinya.

Seorang wanita yang takutkan Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai cinta agung dalam hidupnya, akan menghiasi dirinya dengan akhlak mulia. Akhlak mulia inilah yang akan membantu melahirkan keluarga yang bahagia dan berkasih sayang seterusnya menjana keharmonian sesuatu bangsa. Itulah satu peranan yang tidak boleh dinafikan oleh wanita.

Hiasilah peribadi dengan bunga diri, yakni akhlak tidak kira tinggi mana sekalipun jawatannya. Barulah nanti akan wujud kembali kebahagiaan, ketenangan, keamanan dan keharmonian yang sudah sekian lama hilang dari masyarakat. Jika setiap wanita mampu melaksanakan tugas penting ini, dia sebenarnya telah memberi sumbangan besar untuk masyarakat yang layak mendapat pengiktirafan dan pembalasan di sisi Tuhan.

Wallahua'lam..