Persatuan Belia Islam Nasional Pahang adalah ahli gabungan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). PEMBINA adalah sebuah persatuan belia yang bangkit di tengah-tengah kemelut masyarakat yang solah-olah tiada penghujungnya. PEMBINA sebagai wadah untuk menjana generasi baru yang mampu melaksana tanggungjawab mereka kepada bangsa mereka. Kegawatan yang melanda bangsa ini, khususnya kelompok belia mereka, hanya mampu diatasi dengan kembali kepada Islam. Sebenarnya cabaran yang paling besar bagi sesebuah bangsa yang ingin bangkit adalah penyediaan generasi baru. Oleh itu, generasi muda mesti disiapkan untuk menggalas beban yang besar, iaitu membawa bangsa ini ke puncak kejayaan. Mereka mesti dikejutkan daripada tidur mereka yang lama. Mereka mesti disedarkan tentang ancaman dan cabaran yang sedang melanda bangsa mereka, sama ada dari luar mahupun dalam. Mereka mesti diingatkan bahawa survival bangsa ini terletak di atas bahu mereka dan mereka akan ditanya di hadapan Allah yang Maha Agung tentang apa yang mereka usahakan.
Justeru PEMBINA tampil dengan objektif-objektif berikut:
- Membangunkan potensi belia/beliawanis yang cinta dan bertanggungjawab kepada Tuhan, diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
- Meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kemahiran belia/beliawanis agar dapat menyumbang secara positif kepada kemakmuran negara.
- Menggilap kualiti kepemimpinan, disiplin, amanah dan kendiri dikalangan belia/beliawanis.
- Memupuk jiwa yang merdeka, bermotivasi tinggi, dedikasi, progresif dan dinamik.
- Melahirkan belia/beliawanis yang cergas, sihat, kuat dan lasak dari segi fizikal, spiritual dan mental.
- Menjalin persaudaraan kukuh yang berteraskan Islam serta membentuk kefahaman dan kerjasama erat di kalangan ahli.
- Menggerakkan belia/beliawanis untuk membangun diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Visi PEMBINA
“Menjadi Sebuah Organisasi Belia Islam Unggul yang Mampu Mengisi Keperluan Pembangunan Negara”
Misi PEMBINA
“Melahirkan Generasi Belia Islam yang Beriman, Berilmu, Prihatin, Seimbang dan Dinamik”