Isnin, November 24, 2008

Kem Perkasa Remaja (KEMPER)

Assalamualaikum wrh wbh
Berminat mengikuti program bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) di musim cuti persekolah ini? Bersempena dengan musim cuti persekolahan pada tahun ini, KRIM Terengganu dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) akan menganjurkan sebuah kem remaja seperti berikut:

Nama program: Kem Perkasa Remaja (KEMPER)
Tema program: Membentuk Pemimpin Masa Depan
Tempat: Agro Semuji Resort, Gambang
Tarikh: 11-13 Disember 2008
Yuran: Hanya RM 10 sahaja (tidak termasuk pengangkutan)

Sehubungan dengan itu, pihak KRIM Terengganu mempelawa anda untuk menyertai program ini.Untuk tujuan pendaftaran, bolehlah menghubungi/sms kami di talian:
019-9507429 dan 013-9821983.

Daftar segera kerana tempat adalah terhad.
Mohon dipanjang-panjangkan kepada rakan-rakan sekolah, saudara mara dan jiran terdekat.
Jumpa di sana!!!
Sekian, terima kasih
(KRIM) Terengganu:

Jumaat, November 21, 2008

Kerja Ini, kerja siapa?

Pada suatu hari, seorang ibu yang berumur dalam lingkungan 40an bertanya kepada anak sulungnya, “cuba kamu jawab soalan ini, kerja dakwah dan amal jama’i adalah kerja formal atau tidak formal?”. Dengan terpinga-pinga, anaknya yang berusia 22 tahun itu bertanya kembali, “apakah maksud emak formal dan tidak formal itu?”. Maka berlakulah dialog di bawah:

Ibu: Maksud mak formal tu macam nilah, kalau kita buat kerja dakwah ni, sama macam kita buat kerja pejabat ke tak?, kita ikut waktu pejabat ke tak?

Anak: Oh, begitu maksud soalan mak.. Mestilah kerja dakwah tak ikut waktu pejabat kan? sebab ia adalah kerja sepanjang masa. (sambil menjawab dengan hairan, kenapa ibunya bertanya soalan sebegitu, sedangkan selama ini ibu itulah yang memberi kefahaman kerja dakwah dan amal jama’i tidak mengira masa dan tempat)

Ibu: Ok lah, sekiranya kerja dakwah dan amal jama’i itu bukannya kerja pejabat atau mengikut masa pejabat, mengapakah kita perlu melaksanakannya dengan kemas, teratur, tersusun, seolah-olah ia adalah kerja pejabat?

Anak: Hmm, kerja dakwah mestilah kene buat dengan tersusun sebab itu bukan kerja biasa-biasa. Kerja biasa-biasa pun kita kene buat dengan teratur, kemas dan tersusun, apatah lagi kerja luarbiasa kan? Contohnya, kita nak tidur, kita perlu jaga masa tidur kita supaya ‘biological clock’ kita tidak rosak dan memudharatkan kesihatan tubuh. Macam tu jugak kita buat kerja rumah, ada ke rasa nak sapu rumah,sapu, rasa tak nak tak yah sapu? Atau pun memasak, kita akan memasak apabila tiba waktu yang tertentu, supaya makanan akan terhidang pada waktu makan dan tiada orang dalam rumah akan kelaparan kerana makanan tidak siap dimasak lagi.

Ibu: (sambil mengangguk dan tersenyum simpul), baiklah (seolah-olah berpuashati dengan jawapan si anak, dia bertanya lagi).. jika kerja dakwah itu adalah amal jama’i, kenapa ada orang merungut dia sorang sahaja yang buat kerja?

Anak: (bertambah pening dan hairan, tetapi dengan selambanya menjawab). Oh, itu mungkin kerana tiada pembahagian kerja yang baik dalam organisasi..

Ibu: (diam dan bangun meneruskan kerjanya)

Apakah kepentingan dialog di atas? Mudahkah untuk kita melakukan sesuatu kerja dengan tersusun dan teratur? Benarkah ‘perasaan’ kerja melakukan seorang diri itu kerana tiada pembahagian tugas yang berkesan?

“Haq yang kucar-kacir akan dikalahkan oleh batil yang tersusun kemas gerak kerjanya”

Selasa, November 18, 2008

Pengumuman

Assalamualaikum wbt

ISMA Pahang dan Jawatankuasa Surau Sg Isap 3 akan mengadakan aktiviti Pertandingan Tahfizul Quran. Berikut adalah butir-butirnya:

Peringkat Saringan - 19hb November 2008

Peringkat Akhir - Sabtu, 22hb November 2008, 8.30pagi


Keduanya ialah Program Khatan Beramai-ramai pada Ahad, 23hb November 2008. Juga bertempat di Surau Sg Isap 3. Ikhwah akhawat PEMBINA diperlukan untuk membantu melancarkan proses. Sebarang pertanyaan sila hubungi upline masing-masing.

Isnin, November 17, 2008

Rehatkan badan, Ibadah tetap jalan..

Tiada tuhan melainkan Allah,
Tiada contoh terbaik kecuali Rasulullah.

Tiada perkataan seindah Al-Quran,
Tiada nikmat paling berharga selain iman.

Tiada batu secantik permata,
Tiada rumah yang diimpi selain syurga.

Kepada ikhwah akhawat yg sedang bercuti, marilah kita penuhi masa kita dengan perkara yang berfaedah dan menguntungkan Islam dan akhirat kita. Kepada yang tak bercuti, teruskan tugas dan perjuangan anda di medan masing-masing (ia juga menguntungkan Islam dan akhirat kita, jika niatnya betul).

Selamat beribadah dan menjadi hamba Allah yang bersungguh-sungguh.

Isnin, November 03, 2008

Barakallahuma...


Jemputan ke Majlis Kenduri Kesyukuran


Mohd Zahir Mohd Ariffin
dengan
Nurul Izza Mohd Zahidi


Walimah (pihak perempuan)
13 December 2008
12.00pm - 6.00pm
Batu 11 ½ Ketereh,
16450 Kota Bharu,
Kelantan.

Walimah (pihak lelaki)
14 December 2008
12.00pm – 6.00 pm
Kg Banggol Chica,
Pasir Mas
Kelantan.

p/s wedding card Insya allah boleh view at www.ummatku.wordpress.com






Ahad, November 02, 2008

Interaksikan fitrahmu Dengan Tarbiyyah

Fitrah manusia adalah fitrah yang indah. Kelangsungan jiwanya dengan setiap makhluk yang lain bertitik tolak dari kemas dan teguhnya jiwa manusia itu berinteraksi dengan fitrah manusiawinya. Tidak dapat disangkal lagi satu fakta bahawa Islam diturunkan Allah s.w.t. untuk membelai dan melayani fitrah manusia, dalam pada masa yang sama, berada dalam sifat ubudiyah. Itulah indahnya Islam, dan begitulah cantiknya kehidupan kita di atas muka bumi ini. Mana-mana usaha untuk mengekang manusia dari fitrahnya, dari sifat manusiawinya yang luhur akan menyebabkan pemberontakan yang amat besar mudharatnya. Bahkan perjalanan dan kesinambungannya dengan makhluk lain, baik manusia lain mahupun alam wujud ini akan terjejas dan boleh jadi terbantut.

Sebelum pergi lebih jauh, amat penting untuk kita sedar bahawa fitrah yang dimaksudkan di sini bukan bererti hawa nafsu, tetapi segala yang lahir dari jiwa manusia sebagai sifatnya yang manusiawi, yang perlu dipenuhi untuk mengecap kepuasan hidup yang asasi dan memastikan kemandirian rohani dan emosi dalam kehidupannya.
Itulah satu sifat dalam jiwa manusia yang amat jelas komposisinya, amat teguh kedudukannnya.
Di satu sudut yang lain, da’wah yang kita pikul ini juga perlu kita raikan, bahkan perlu kita manfaatkan kedudukannya yang fitrah juga. Da’wah tidak wujud tanpa islam, dan islam berinteraksi dengan fitrah manusia. Kegagalan untuk meletakkan tautan atau mengasimilasikan antara tiga unsur ini tidak akan membawa kepada natijah yang positif.

Kefahaman tentang Islam dan da’wah yang baik adalah melalui tarbiyyah yang diinteraksikan dengan fitrah. Perkembangan individu muslim yang tidak berlandaskan fitrah manusia, akan hanya menghasilkan jiwa-jiwa berfikrah dan bersifat buruh, bukan bersifat jundiy. Jiwa-jiwa ini hanya akan beramal dengan arahan, dan fikrahdiguna saat hendak menyusun batu-bata. Bahkan fikrah yang terbina adalah pada mafhum yang amat sempit sekali, dan boleh jadi tarbiyyah yang difahaminya juga bersifat jumud. Fitrah yang tidak dihubungkaitkan dengan tarbiyyah dirinya akan dirosakkan oleh sifat buruhnya itu, akhirnya menghasilkan pekerja islam yang berkualiti rendah. Potensinya tidak akan dapat dikembangkan, bahkan perlu dicari semula kerana diragut sifat keburuhannya.

Jundiy kepada fikrah yang difahami oleh kita adalah jundiy yang berkembang secara syumul, mampu berinteraksi dengan fitrah manusiawinya, kuat untuk memikul beban da’wah ini dengan seluas skop kehidupan manusia tanpa meninggalkan erti keazaman, kesetiaan, pengorbanan dan kefahaman yang baik terhadap atau demi fikrahnya. Selain dari ini, mereka adalah umpama buruh-buruh upahan. Kita mempelajari ini dari para sahabat yang bersama Rasulullah s.a.w. dalam semua ketika, taat dan setia tanpa persoalan, namun unsur fitrahnya sebagai manusia tidak pernah diabaikan. Tidak banyak kisah para sahabat yang Rasulullah s.a.w. terpaksa memperbetulkan kembali mereka agar hidup selari dengan fitrahnya, antaranya kisah tiga orang yang setiap satunya ingin berpuasa tanpa buka, qiyamulail tanpa tidur-tidur, dan yang tidak mahu berkahwin. Kerana para sahabat tidak pernah keluar dari lingkungan fitrah manusiawinya, kerana islam bagi mereka adalah suatu cara hidup, bukan semata suatu cara fikir.

Kadangkala kita memandang remeh pada pengalaman mereka yang tidak bersama di dalam barisan da’wah ini, walhal kebanyakan mereka telah mempunyai pengalaman hidup berinteraksi dengan fitrah yang amat lama. Sebagai contoh, kedua ibu bapa kita yang telah lama berumah tangga, hinggakan mampu untuk membesarkan kita sebaik mungkin, cuma mungkin mereka tidak bersama dalam saf da’wah, atau tidak pernah terlintas tentang tarbiyyah, janganlah menyebabkan kita tidak mencedok pengalaman mereka yang bernilai itu untuk manfaat tarbiyyah dalam diri kita sendiri.

Pengalaman ibu bapa kita sebagai suami isteri, mengharungi badai rumah tangga adalah pengalaman yang berharga juga buat pasangan suami isteri penda’wah. Tribulasi dan mehnah yang mereka lalui hampir sama dengan tribulasi dan mehnah dalam rumahtangga penda’wah, cuma mungkin tidak pada sebab yang sama. Contohnya, seorang bapa yang bekerja syif malam, jika berminggu-minggu, ianya umpama seorang penda’wah yang perlu ke meeting yang pelbagai, memimpin usrah, hadir ke daurah dan sebagainya. Namun reaksi seorang isteri adalah serupa bagi kedua-dua kes, walau seunderstanding mana sekalipun kita katakan, naluri dan emosinya sebagai wanita tetap wujud, keranasupremacy fitrah manusia itu di dalam jiwanya adalah amat kuat. Pennyelesaian bagi kedua orang tersebut serupa sahaja. Maka apakah yang menjadi penghalang untuk penda’wah menceduk pengalaman kedua ibu bapanya itu? Kerana mereka bukan dalam rumahtangga penda’wah, lebih baik minta daripada qudama’. Akhirnya, nasihat yang paling relevan adalah pengurusan masa yang berkesan.

Jika kita ingin mengulas setiap perkara terkait fitrah dan tarbiyyah di sini, kita tidak akan mampu bertemu jalan penyelasaiannya, namun cukup untuk kita meletakkan dalam pemikiran sebagai pemula kepada anjakan paradigma dalam membentuk suatu pandangan yang segar dan sebagai usaha untuk menjangkau ufuk tarbiyyah yang lebih luas. Sesungguhnya tarbiyyah yang tidak berinteraksi dengan fitrahnya, suatu waktu nanti akan disentap oleh fitrahnya sendiri sehingga ia kembali meraikan fitrah manusiawinya. Jika ini berlaku, insyaAllah, sifat tarbiyyah yang syumul, seimbang dan sempurna akan mampu dikecap
www.bahantarbiyah.info