Isnin, Januari 26, 2009

Seorang atau BERAMAi-Ramai?

" Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang ma'aruf serta mencegah dari yang munkar. Merekalah orang yang beruntung"

Surah Ali-Imran: 104


Ayat ini menyebut secara jelas (yang hijau itu), perbuatan menyeru itu mesti dilakukan secara berkumpulan. Bebanan menyeru manusia kepada Allah adalah bebanan yang tidak akan mampu dipikul oleh orang perseorangan.

Inilah jawapan kepada sesiapa yang berkata:

1- Tak perlulah kita berkumpulan.. sorang-sorang lagi senang.
2- Eh? kenapa kena ada kumpulan pula? Macam orang bergaduh lah.


Rabu, Januari 21, 2009

Hari Solidariti Palestin


p/s - jadual bertugas untuk 'booth' AMAN PALESTIN bakal disiapkan, diharap semua ahli PEMBINA Pahang dapat meluangkan masa untuk hadir pada hari tersebut dan menyudahkan tugasan-tugasan yang telah diberikan.

Khamis, Januari 08, 2009

Agama Adalah Kejujuran

“Agama adalah (an Nasihah) kejujuran , sahabat bertanya untuk siapa wahai Rasulullah? Untuk Allah, Kitabnya,RasulNya, Untuk Pemimpin muslimin dan Muslimin seluruhnya”

Inilah ungkapan terbaik yang difikirkan sebagai pembuka tirai bagi blog yang saya mulakan ini, mudah-mudahan ianya menjadi bahan manfaat untuk tatapan umum, atau sekurang-kurangnya ia boleh menjadi simpanan memori saya terhadap apa yang saya hadapi dan kemudian saya tafsirkan berdasarkan ilmu dan pengalaman saya sepanjang jalan menuju Allah Azza wajalla…
Inilah ungkapan yang dikatakan” Jami’ul kalim” dari seorang manusia yang paling mulia dimuka bumi ini. Perkataan yang ringkas tetapi mengandungi pengertian yang luas.Perkataan yang tidak pernah dicemari dengan hawa nafsu seperti lain-lain pemimpin didunia ini, tetapi ianya datang daripada wahyu Ilahi.Jika seseorang itu beramal dengan ungkapan ini seolah-olah dia mengamalkan agama keseluruhannya.
“An nasihah” dalam bahasa arabnya membawa pengertian bahawa seseorang itu menghendaki kebaikan kepada pihak yang dihadapinya dan pada asal maana nya mengikut bahasa adalah suatu gambaran keikhlasan.Oleh itu bagi saya perkataan “JUJUR” atau kejujuran itu lebih tepat dalam memahami ungkapan Rasulullah s.a.w. tadi.

Addin atau agama yang sama-sama kita fahami dan hayati serta kita perjuangkan ini adalah merupakan himpunan kejujuran.Oleh itu orang yang kuat beragama adalah orang yang tinggi kejujurannya sebaliknya orang yang kurang jujur atau tidak jujur adalah orang yang lemah agamanya walaupun dia mungkin bergelar pemimpin atau guru ataupun ulama’ dan Daei.Kejujuran bukan sifat yang boleh dibuat-buat ia merupakan sifat yang lahir ilmu dan melalui suatu latihan melawan nafsu , ilmu untuk mengetahui hakikat dan status pihak yang kita hadapi dan latihan melawan nafsu untuk kita bersikap dan bertindak betul dengan pihak tersebut.

“Nasihat” yang dipakai dalam bahasa melayu adalah sebahagian daripada pengertian “Annasihah” yang digunakan di dalam bahasa arab, iaitu kerana jujur dengan seseorang maka kita menasihatinya supaya dengan nasihat kita itu dia mendapat kebaikan untuk dirinya jika dia menurutinya.

Para sahabat bertanya untuk siapakah kejujuran itu? Jawab Rasulullah, untuk Allah,KitabNya,RasulNya,Para pemimpin dan Muslimin seluruhnya…itulah ruanglingkup kejujuran yang kita kena laksanakan. Jika kita dapat laksanakan keseluruhannya bererti kita kuat beragama dan jika hanya sebahagian yang dapat kita capai maka itulah saja tahap agama kita.

Jujur dengan Allah ialah dengan mengenaliNya, beriman kepadaNya menolak sebarang bentuk syirik terhadapNya serta mensuci dan meninggikanNya.Seterusnya beribadah kepadaNya dengan penuh keikhlasan, menjauhkan maksiat terhadapNya, kasih dan marah hanya semata-mata keranaNya. Begitu juga memberi wala’ dan kasih sayang kepada sesiapa yang mentaatiNya dan menentang sesiapa yang mengingkarinya.Itulah erti sebuah kejujuran terhadap Allah.

Jujur dengan kitab adalah beriman dengan segala kitab yang diturunkan Allah, beriman bahawa al Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan untuk manusia, ia menasakhkan kitab-kitab yang terdahulu baik kitab Taurah yang dipegang oleh orang-orangYahudi atau Injil yang di pakai oleh orang-orang Keristian. begitu juga erti jujur dengan al Quran ialah dengan membaca dan menghafalnya, meneliti maana dan pengertiannya, berusaha memahami dan mengamalkan hukum hakamnya seterusnya menyebar dan memperjuangkan ajarannya. Itulah ertinya jujur dengan kitab dan kuat agama kita terhadap kitab panduan kita.

Jujur dengan Rasulullah s.a.w. ialah dengan beriman dan membenarkan segala risalah yang dibawanya,mentaati segala suruhannya, mengambilnya sebagai contoh dalam kehidupan, baik secara perseorangan keluarga dan bermasyarakat…seterusnya mengasihi dan mencintainya. Termasuk jujur dengan Rasulullah juga dan bagi saya ia adalah yang terpenting dan terbesar ialah kita meneruskan perjuangan yang telah diperjuangkan oleh baginda dengan cara yang ditunjukinya satu persatu…oleh itu mengkaji sierahnya serta mengikuti akhlak dan peribadinya ketika berdakwah adalah sebuah kejujuran terhadapnya… Itulah erti addin dan itulah erti agama…

Jujur terhadap pemimpin muslimin ialah daripada awal lagi iaitu melantik atau memilih mereka yang layak untuk memimpin ( jika diberi kuasa atau peluang untuk melantik dan memilih) sama ada pimpinan negara atau negeri dan wilayah. Termasuk juga ulama’ atau pimpinan bagi jamaah dan kumpulan Islah. Melantik mereka yang lemah atau tidak layak bagi satu-satu tujuan kepemimpinan atau mengampu dan bertaasub dengan mereka adalah satu ketidakjujuran terhadap pemimpin itu sendiri dan juga mereka yang dipimpinnya.

Jujur kita terhadap pemimpin ialah dengan kita menyukai kebaikan, petunjuk dan keadilan mereka. Bukan kita mencintai mereka kerana peribadi atau kepentingan peribadi dan kumpulan yang akan kita perolehi melalui mereka. Begitu juga erti jujur apabila kita mahu supaya kesatuan ummah berada di bawah mereka yang Adil dan bijaksana dan kita membenci perpecahan dan kebinasaan di bawah pemimpin yang zalim dan lemah.

Jujur kita terhadap pemimpin juga ialah dengan kita menolong serta mentaati mereka berlandaskan kebenaran dan memperingati mereka jika sekiranya mereka menyimpang daripada kebenaran.Di dalam sejarah banyak peristiwa yang membayangkan kejujuran sahabat terhadap pemimpin mereka…keberanian seorang wanita menyatakan untuk membetulkan Omar dengan pedangnya jika menyimpang adalah satu kejujuranya terhadap pemimpinnya…itulah agama dan itulah addin…Jujur kepada umum muslimin pula ialah dengan kita memberikan pertolongan dan tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan dunia dan akhirat mereka.Ianya termasuklah jujur seorang anak kepada kedua ibu bapanya, seorang guru pada pelajarnya dan sebaliknya seorang pelajar pada gurunya.Begitu juga daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.

Kejujuran itu bukan sahaja dilaksanakan dalam perkara yang disukai oleh seseorang tetapi juga kemungkinan perkara itu tidak disukainya,demi kebaikan seorang pembawa fitnah umpamanya,dalam masyarakat atau dalam kelompok manusia tertentu, kita terpaksa menghalangnya dan membongkar pembohongannya demi menyelamatkannya dari berterusan mendapat murka Allah dan juga menyelamatkan masyarakat dari kebatilan yang dibawanya.Itulah erti kejujuran kita terhadap keduanya dan itulah ertinya kita beragama dalam kontek kita bermasyarakat.Jika kita hanya menumpukan kebaikan untuk diri dan keluarga kita sahaja tanpa mengendahkan masyarakat keliling maka sebenarnya kita belum lagi jujur dalam ertikata sebenarnya, dan kita belum lagi boleh dikatakan kuat beragama, kerana Rasulullah menyatakan addin itu hendaklah JUJUR dengan kesemuanya…,jujur kepada Allah,jujur kepada Kitab,jujur kepada Rasul,jujur Kepada Pimpinan Muslimin dan seterusnnya jujur kepada Muslimin seluruhnya.

Oleh sebab itulah Allah menjadikan surah Al ‘Asr sebagai tunggak kepada ciri-ciri masyarakat muslim dan menganggap rugi sesiapa yang tidak memenuhi semua ciri-cirinya: Beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.


“DEMI MASA, SESUNGGUHNYA MANUSIA DALAM KERUGIAN, KECUALI MEREKA YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MEREKA BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN DAN BERPESAN-PESAN DENGAN KESABARAN”


Mudah-mudahan usahan kerdil ini berpanjangan dan bertitik tolak dari keluasan dan rahmat
KEJUJURAN (AN NASIHAH)…

Tulisan : Ust Rushdan Abd Halim
Link : Blog Ust Rushdan

Rabu, Januari 07, 2009

Hebahan Umum.


Iklan Pertama



Pengumuman dari Biro Ekonomi:

Borang tempahan akan diedarkan. Sesiapa yang berminat untuk menempah bolehlah berhubung terus diblog ini atau berjumpa dengan mana-mana wakil pengedar.. Insya Allah, wang keuntungan akan disalurkan ke arah perkara yang bermanfaat dan bernilai disisi Allah.

p/s: Ini baru permulaan, kita tunggu lain-lain pengumuman dari wakil biro Ekonomi PEMBINA Pahang..

Selasa, Januari 06, 2009

Kenyataan Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Ustaz Mahdi Akef tentang apa yang sedang berlaku di Gaza.

Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan mereka yang berwalak kepadanya (Walak = tempat kecintaan, rujukan dsb. - pent.)..

Firman Allah swt bermaksud, “Allah menetapkan, ‘Sungguh Aku akan memenangkan (agama) Aku dan Rasul-rasulKu. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa” (Al-Mujadalah:21). “Sesungguhnya Kami akan memenangkan Rasul-rasul Kami dalam kehidupan di dunia dan di hari dibangkitkan saksi-saksi” (Ghafir:51). Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Akan terus dari umatku mereka yang terang-terang atas kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka dalam keadaan sedemikian’. Sahabat bertanya, ‘Di manakah mereka’. Rasulullah saw menjawab, ‘Mereka di Jerusalem dan di sekeliling Jerusalem (Palestin)."

Wahai pendokong Dakwah ini ! Wahai mereka yang bersiap siaga di Palestin ! Wahai mereka yang di kepung di Gaza dan di Al-Khalil (Hebron) !

Setiap fasa ada kemenangan. Bila semakin sengit kezaliman dan kuat kepungan yang zalim dan semakin kuat cengkaman musuh dari kalangan bangsa sendiri terhadap pejuang-pejuang Islam, maka kezaliman sanak saudara lebih perit dirasakan ke atas jiwa kita, maka sesungguhnya kemenangan di fasa itu adalah berpegang teguh dengan Prinsip, tidak mengalah untuk mendapatkan Hak-hak, membuat persiapan untuk fasa berikutnya. Kemenangan itu juga adalah kita menang mengatasi jiwa agar tidak menjadi lemah, azam tidak mengendur, bisikan Syaitan dan perbuatan orang-orang munafik.

Imam Al-Banna berkata tentang erti Tsabat, ‘Berterusan akh itu bekerja dan berjihad di jalan mencapai matlamatnya, walau sepanjang mana tempoh dan silih berganti tahun demi tahun, hingga dia bertemu Allah dalam keadaan demikian dan dia telah menang dengan mendapat salah satu dari dua Kebaikan, samada Matlamat tersebut atau Mati Syahid di penghujungnya. Firman Allah swt bermaksud, “Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak menrubah sedikitpun janji mereka itu” (Al-Ahzab:23). Pada kita, waktu adalah sebahagian dari rawatan (penyakit diri dan umat ini). Jalan ini panjang tempohnya, jauh fasa-fasanya, banyak halangan-halangannya, akan tetapi itulah satu-satunya Jalan yang mnyampaikan kepada apa yang dituju, disamping beroleh pulangan yang besar dan pahala yang indah.

Ya, wahai pendokong Dakwah di Palestin, bahkan dengarlah wahai semua penduduk dunia ini !

Bukan resolusi-resolusi Persidangan Anapolis atau PBB, bukan juga sidang-sidang damai bersiri demi siri, bukan juga janji-janji palsu dan ancaman yang berterusan. Buka semua itu atau seumpamanya yang akan mengembalikan hak-hak dan menamatkan Penjajahan.

Hak-hak kita akan dikembalikan, musuh-musuh kita akan terpaksa mendengar permintaan kita hingga mereka keluar dari negeri kita atau duduk dalam sidang yang serius yang boleh mewajibkan mereka mengembalikan hak-hak kita, hanyalah melalui Penentangan semata-mata, Jihad yang berterusan, berpegang teguh dengan Prinsip-prinsip, perpaduan dalam tanahair, menghidupkan ruh Penentangan dan perasaan yang tinggi, cinta kepada Syahid di jalan Allah dan tidak takut kepada mati.

Wahai para mujahid Gerakan HAMAS,

Sesungguhnya kamu telah menyambut panji-panji Jihad Penentangan terhadap Penjajahan dari generasi terdahulu. Kami telah mengibarkan panji-panji “Syahid atau Menang”. Kamu telah menyumbang para Syuhadak demi para Syuhadak yang diberkati. Betapa pemurahnya kamu menyumbangkan ribuan yang disumbat ke dalam penjara, ribuan yang menjadi luka dan cacat, ribuan janda dan anak yatim. Apabila perasaan lemah dan Wahan (cinta dunia dan takut mati – Hadis) menyelinap masuk ke dalam jiwa orang-orang yang terdahulu dari kamu di jalan Penentangan ini (mereka dulunya berjuang, kini bersekongkol dengan Amerika dan Israel – pent.), kini kamu wahai HAMAS, sehingga ke saat ini, menjadi batu pejal yang menghempap yang memusnahkan angan-angan Penceroboh, Perampas tanah dan Penjajah. Sejak 20 tahun lalu, gerakan mu tersebar di seluruh Gaza yang diberkati, Tebing Barat yang dipenuhi Jihad dan di pelusuk Palestin, dengan mengangkat panji-panji Intifadhah (kebangkitan) bersama-sama mereka yang bangkit, dan panji-panji Penentangan bersama-sama mereka yang menentang. Kamu dapat memastikan kesemua kumpulan di Palestin bernaung di bawah panji-panji Jihad dan bertarung dengan Musuh yang jahat lagi kotor, yang berusaha sepenuh tenaga untuk memecahkan kesatuan barisan rakyat Palestin. Malangnya musuh berjaya dalam banyak aspek di mana di kalangan sebahagian pemimpin Palestin ada yang menyifatkan usaha-usaha Penentangan sebagai sia-sia, Jihad dengan gambaran yang jelek yang Musuh-musuh sendiri tak tergamak untuk menyebutnya.

Ya, musuh telah berjaya membunuh simbol perjuangan Palestin, Yasser Arafat dengan menggunakan racun oleh orang-orang yang rapat dengan beliau supaya kumpulan lain yang disukai oleh musuh pula menguasai medan melalui segala bentuk godaan, ancaman, janji manis dan amaran sehingga kepungan yang zalim ini dapat berjalan dengan kerjasama kumpulan tersebut yang membantu menyiksa umatnya dan menghukun rakyatnya sendiri.

Wahai para Mujahideen HAMAS,

Telah berlalu hari-hari yang perit, dan kamu telah bertahan teguh dengan sebenar-benarnya. Penentang dan ketahanan kamu bersama dengan para penentang, mujahideen dan seluruh pelusuk dunia, telah memberikan kesan dalam menamatkan tempoh pedih dalam sejarah dunia dan Amerika yang dikuasai oleh kumpulan perampok dan orang-orang jahil ditampuk pimpinan Amerika dan antarabangsa sehingga membawa kepada kehancuran dan kerugian. Di penghujung tempoh kumpulan ini dibawah kepimpinan George Bush II, tersebar dari pusat-pusat penyelidikan terhadap jenayah-jenayah mereka terhadap kemanusiaan. Adakah di dunia ini siapa yang akan mengadili mereka di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, setelah mereka dihukum di Pilihanraya Amerika, supaya ianya tidak berulang di masa akan datang? Jutaan manusia terbunuh, jutaan tercedera, penyiksaan yang mengerikan, tawanan rahsia, penjara rahsia dan belum lagi penggelapan ratusan bilion dolar, mensia-siakan usaha tenaga perusahan dan perniagaan serta kekayaan di peringkat antarabangsa!

Sesungguhnya tempoh perit dalam sejarah dunia juga tamat bermula di zaman Presiden Reagan. Kini dunia bersedia pula untuk masuk ke fasa baru. Umat Arab dan Islam mestilah mempunyai peranan dan tempat akan tetapi titik permulaannya ialah kita mesti merubah apa yang ada dalam jiwa kita, kemudian kita mendapatkan semula kebebasan dan hak menentu halatuju. Kita hendaklah memiliki kemahuan yang bebas dari sebarang belenggu selain dari ikatan berpegang dengan arahan Allah dan Syariat Islam.

Wahai mereka yang bersiap siaga di Bait Maqdis (Jerusalem) dan di sekeliling Bait Maqdis,

Sesungguhnya kamu bukan sahaja mempertahankan bumi dan tempat suci kamu semata-mata, bahkan kamu mempertahankan maruah umat Arab dan umat Islam seluruhnya, juga mempertahankan tempat-tempat suci umat Islam dan Kristian. Bahkan saya tidak berlebih-lebih bila mengatakan bahawa sesungguhnya kamu mempertahankan nilai kebebasan, kemuliaan dan persamaan demi kemanusiaan seluruhnya, berdepan dengan apartheid, kebencian, pembezaan, pencerobohan yang lahir dari falsafah Sekular yang dihasilkan di kurun lalu oleh benih Nazi, Komunis, Atheis yang dieksploitasikan oleh Apartheid dan Zionis. Zaman sebahagian mereka telah berlalu dan dengan izin Allah dan bantuan mereka yang mulia dan merdeka, akan mengalahkan Zionis, Apartheid dan Atheis.

Sesungguhnya Islam yang agung yang kamu kibarkan panji-panjinya, tidak mengenali perbezaan warna kulit, bahkan ia adalah agama persamaan dan toleransi, tidak membawa apartheid yang sangat dibenci manusia. Bahkan Islam ini adalah apa yang disabdakan Rasulullah saw bermaksud, ‘Setiap kamu adalah dari Adam, dan Adam adalah dari tanah”.

Kepada Umat Arab dan Islam,

Janganlah kamu diperolok dan diperdayakan oleh kempen hitam dan media yang punah diperlakukan sekehendak Syaitan. Mereka memerangi tanpa henti bersama dalam barisan musuh-musuh umat Islam. Dengarlah suara hati nurani kamu yang tidak boleh menerima tindakan berdiam diri tanpa menolong pihak yang benar, saudara mara kamu di dalam kemanusiaan, agama dan Arab. Mereka dikepung oleh semua pihak agar memaksa mereka untuk tunduk menyerah diri kepada ketamakan musuh dan perancangan Zionis.

Wahai pemimpin dan kerajaan Arab,

Tiba masa kamu harus sedar dari lamunan, dan mengambil pendirian yang sebenar-benarnya. Kembalilah menilai pendirian dan strategi politik kamu sejak berdekad-dekad lalu. Bukalah lembaran baru bersama-sama rakyat kamu demi mencapai kemuliaan dan keagungan buat umat ini.

Saya tidak akan sekadar mengajak kamu mendokong hak Palestin dan menganjur peperangan demi membebaskan Palestin semata-mata, bahkan saya menyeru agar kamu jangan bekerjasama dalam membuat kepungan yang zalim dan melenyapkan isu Palestin. Isu ini tidak akan mati. Isu ini tidak akan berhenti sehingga Kebenaran kembali kepada tuannya. Adapun kamu, maka kamu akan dihukum oleh sejarah samada menyebelahi atau mendakwa kamu. Di akhir nanti, kamu akan berdiri di mahkamah Maha Adil, Maha Mengetahui, menghitung kamu apa yang kamu perbuat, apa yang kamu zahir dan rahsiakan.

Kepada kamu wahai Mujahideen, wahai mereka yang berada di medan batalion Syuhadak di Gaza Intifadah, Gaza yang dijajah, Gaza yang dibebaskan, Gaza yang diberkati …

Bergantunglah kamu kepada Allah swt. Yakinlah terhadap kemenangan dan pertolonganNya. Ikhlaskanlah wajah kamu hanya kepada Nya semata-mata. Ketahuilah bahawa Kemenangan itu datang bersama Kesabaran. Kesatuan barisan dalam rakyat Palestin adalah mesti demi mencapai kemenangan. Bersabarlah terhadap pembangkang kamu. Tanggunglah kesakitan yang dilakukan oleh mereka yang sebangsa dengan kamu. Haapkanlah senjata kamu ke arah musuh sahaja semata-mata dan ke arah dada-dada Zionis yang menjajah.

Jangan menunggu-nunggu apa jua pun dari Obama Amerika, Syarkozy Perancis dan Bangsa-bangsa Bersatu. Jangan mengharap-harapkan apa jua dari “Mubadarah Arabiah (tawaran dari pihak Arab)” (tawaran Arab diketuai Raja Abdullah dari Saudi iaitu “Israel serah Gaza dan Tebing Barat dan Israel dapat perdamaian dari Arab”) kerana kesudahannya nanti adalah kegagalan, kerana musuh terus menggunakan politik menceroboh dan kerana ianya tidak mencapai walau hak Palestin yang minima, memusnahkan hak Pelarian Palestin untuk kembali ke kampung halaman mereka yang kita tidak mungkin mengalah dalam hal ini.

Janganlah kamu masuk ke dalam strategi bentuk perbicangan dan kata-kata, bahkan hendaklah kamu bekerjasama dengan sepenuh tenaga mereka yang ikhlas ke arah memenangkan isu kamu. Hendaklah resolusi-resolusi kamu bebas sebebas-bebasnya.

Dengarlah seruan Ilahi dari tujuh petala langit bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, bersabarlah, kuatkanlah kesabaranmu, bersiap siagalah dan bertaqwalah mudah-mudahan kamu berjaya” (Ali Imran:200).

Allahu Akbar, walillahi Hamd.

Selawat dan salam keatas Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para Sahabat.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Ustaz Mahdi Akef,
Mursyid Am Ikhwan Muslimin,
Kaherah.

Diterjemah oleh:

Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden ISMA
Sumber:
Blog Ustaz Abdul Halim

Khamis, Januari 01, 2009

GAZA oh GAZA ku..

Itulah hakikat yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun seperti yang di nayatakan oleh Menteri luar Syria, Walid Muallim dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar Arab di Kaherah baru-baru ini.

Hakikatnya,
  1. Umat Islam Paletin di Gaza khususnya yang ditimpa penyakit kronik tidak dapat keluardaripada Gaza bagi mendapatkan rawatan kerana larangan daripada pihak Israel
  2. Sumber kesihatan Palestin mengesahkan angka bilangan kematian yang tercatat sepanjang kepungan yang dibuat oleh Israel seramai 261 orang termasuk seorang wanita yang berumur 34 tahun. Doktor Mu’awiyah Husnain berkata “termasuk yang syahid setakat ini ialah seorang wanita yang bernama Karimah Zuhair Abu Dallal, ibu kepada lima orang anak”. Penyakit yang dihidapinya sepatutnya dapat dirawat di hospital luar Gaza. Akan tetapi dek kepungan ini beliau tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan sehinggalah beliau mati.
  3. Kementerian kesihatan Palestin menyatakan bahawa hospital terbesar yang terdapat di Gaza berhadapan dengan masalah kehabisan gas memasak, keadaan ini amat menyukarkan kerana mereka sepatutnya menyediakan hampir 1500 makanan setiap hari kepada para pesakit. Lebih menyulitkan keadaan apabila gas yang sama sepatutnya digunakan juga untuk proses pengeringan tuala dalam proses pembedahan. Oleh yang demikian kementerian tersebut menyeru negara arab dan Islam menyuarakan isu ini ke peringkat antarabangsa.
  4. Lebih memalukan umat Islam apabila sebuah akhbar berbahasa Arab bertarikh 20/11/2008 telah melaporkan Majlis Kesatuan Ekonomi Arab di bawah Liga Arab membelanjakan 50 juta dolar untuk projek membela Penyu laut, sedang umat Islam di Gaza dikepung dan dihimpit kesusahan serta penderitaan, mereka sebok dengan projek yang tidak menguntungkan ini. Muhammad Abdul Fudhail Syusyah, gabenor timur Sina menyifatkan “inilah projek pertama yang sepertinya di Mesir”. Adakah penyu laut lebih berharga daripada nyawa saudara mereka di Gaza ? .
  5. Akibat daripada kepungan ini, bekalan makanan juga semakin berkurangan. Satu laporan menyebut bahawa mereka yang menduduki Gaza kini terpaksa mengambil tepung yang pada asalnya adalah dijadikan makanan kepada burung-burung, kini ianya dijadikan makanan kepada sebahagian penduduk Gaza yang kekurangan bekalan.
  6. Bantuan daripada luar juga tidak dibenarkan masuk untuk disalurkan kepada masyarakat dan penduduk Gaza.
  7. Bekalan elektrik juga terputus akibat daripada kepungan ini, bermakna mereka kini berada dalam keadaan bergelap pada waktu malam.

Sumber dan maklumat lanjut:
http://amanpalestin.org/index.php?action=com_content&task=content&section
=1&category=1&&content=345

Selain itu, Pemimpin-pemimpin Arab juga telah mengadakan mesyuarat pada hari ini mengenai Serangan di Gaza, masih menunggu berita keputusan mesyuarat tersebut.. Buatlah apa yg kita mampu bersungguh-sungguh..