Khamis, Januari 08, 2009

Agama Adalah Kejujuran

“Agama adalah (an Nasihah) kejujuran , sahabat bertanya untuk siapa wahai Rasulullah? Untuk Allah, Kitabnya,RasulNya, Untuk Pemimpin muslimin dan Muslimin seluruhnya”

Inilah ungkapan terbaik yang difikirkan sebagai pembuka tirai bagi blog yang saya mulakan ini, mudah-mudahan ianya menjadi bahan manfaat untuk tatapan umum, atau sekurang-kurangnya ia boleh menjadi simpanan memori saya terhadap apa yang saya hadapi dan kemudian saya tafsirkan berdasarkan ilmu dan pengalaman saya sepanjang jalan menuju Allah Azza wajalla…
Inilah ungkapan yang dikatakan” Jami’ul kalim” dari seorang manusia yang paling mulia dimuka bumi ini. Perkataan yang ringkas tetapi mengandungi pengertian yang luas.Perkataan yang tidak pernah dicemari dengan hawa nafsu seperti lain-lain pemimpin didunia ini, tetapi ianya datang daripada wahyu Ilahi.Jika seseorang itu beramal dengan ungkapan ini seolah-olah dia mengamalkan agama keseluruhannya.
“An nasihah” dalam bahasa arabnya membawa pengertian bahawa seseorang itu menghendaki kebaikan kepada pihak yang dihadapinya dan pada asal maana nya mengikut bahasa adalah suatu gambaran keikhlasan.Oleh itu bagi saya perkataan “JUJUR” atau kejujuran itu lebih tepat dalam memahami ungkapan Rasulullah s.a.w. tadi.

Addin atau agama yang sama-sama kita fahami dan hayati serta kita perjuangkan ini adalah merupakan himpunan kejujuran.Oleh itu orang yang kuat beragama adalah orang yang tinggi kejujurannya sebaliknya orang yang kurang jujur atau tidak jujur adalah orang yang lemah agamanya walaupun dia mungkin bergelar pemimpin atau guru ataupun ulama’ dan Daei.Kejujuran bukan sifat yang boleh dibuat-buat ia merupakan sifat yang lahir ilmu dan melalui suatu latihan melawan nafsu , ilmu untuk mengetahui hakikat dan status pihak yang kita hadapi dan latihan melawan nafsu untuk kita bersikap dan bertindak betul dengan pihak tersebut.

“Nasihat” yang dipakai dalam bahasa melayu adalah sebahagian daripada pengertian “Annasihah” yang digunakan di dalam bahasa arab, iaitu kerana jujur dengan seseorang maka kita menasihatinya supaya dengan nasihat kita itu dia mendapat kebaikan untuk dirinya jika dia menurutinya.

Para sahabat bertanya untuk siapakah kejujuran itu? Jawab Rasulullah, untuk Allah,KitabNya,RasulNya,Para pemimpin dan Muslimin seluruhnya…itulah ruanglingkup kejujuran yang kita kena laksanakan. Jika kita dapat laksanakan keseluruhannya bererti kita kuat beragama dan jika hanya sebahagian yang dapat kita capai maka itulah saja tahap agama kita.

Jujur dengan Allah ialah dengan mengenaliNya, beriman kepadaNya menolak sebarang bentuk syirik terhadapNya serta mensuci dan meninggikanNya.Seterusnya beribadah kepadaNya dengan penuh keikhlasan, menjauhkan maksiat terhadapNya, kasih dan marah hanya semata-mata keranaNya. Begitu juga memberi wala’ dan kasih sayang kepada sesiapa yang mentaatiNya dan menentang sesiapa yang mengingkarinya.Itulah erti sebuah kejujuran terhadap Allah.

Jujur dengan kitab adalah beriman dengan segala kitab yang diturunkan Allah, beriman bahawa al Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan untuk manusia, ia menasakhkan kitab-kitab yang terdahulu baik kitab Taurah yang dipegang oleh orang-orangYahudi atau Injil yang di pakai oleh orang-orang Keristian. begitu juga erti jujur dengan al Quran ialah dengan membaca dan menghafalnya, meneliti maana dan pengertiannya, berusaha memahami dan mengamalkan hukum hakamnya seterusnya menyebar dan memperjuangkan ajarannya. Itulah ertinya jujur dengan kitab dan kuat agama kita terhadap kitab panduan kita.

Jujur dengan Rasulullah s.a.w. ialah dengan beriman dan membenarkan segala risalah yang dibawanya,mentaati segala suruhannya, mengambilnya sebagai contoh dalam kehidupan, baik secara perseorangan keluarga dan bermasyarakat…seterusnya mengasihi dan mencintainya. Termasuk jujur dengan Rasulullah juga dan bagi saya ia adalah yang terpenting dan terbesar ialah kita meneruskan perjuangan yang telah diperjuangkan oleh baginda dengan cara yang ditunjukinya satu persatu…oleh itu mengkaji sierahnya serta mengikuti akhlak dan peribadinya ketika berdakwah adalah sebuah kejujuran terhadapnya… Itulah erti addin dan itulah erti agama…

Jujur terhadap pemimpin muslimin ialah daripada awal lagi iaitu melantik atau memilih mereka yang layak untuk memimpin ( jika diberi kuasa atau peluang untuk melantik dan memilih) sama ada pimpinan negara atau negeri dan wilayah. Termasuk juga ulama’ atau pimpinan bagi jamaah dan kumpulan Islah. Melantik mereka yang lemah atau tidak layak bagi satu-satu tujuan kepemimpinan atau mengampu dan bertaasub dengan mereka adalah satu ketidakjujuran terhadap pemimpin itu sendiri dan juga mereka yang dipimpinnya.

Jujur kita terhadap pemimpin ialah dengan kita menyukai kebaikan, petunjuk dan keadilan mereka. Bukan kita mencintai mereka kerana peribadi atau kepentingan peribadi dan kumpulan yang akan kita perolehi melalui mereka. Begitu juga erti jujur apabila kita mahu supaya kesatuan ummah berada di bawah mereka yang Adil dan bijaksana dan kita membenci perpecahan dan kebinasaan di bawah pemimpin yang zalim dan lemah.

Jujur kita terhadap pemimpin juga ialah dengan kita menolong serta mentaati mereka berlandaskan kebenaran dan memperingati mereka jika sekiranya mereka menyimpang daripada kebenaran.Di dalam sejarah banyak peristiwa yang membayangkan kejujuran sahabat terhadap pemimpin mereka…keberanian seorang wanita menyatakan untuk membetulkan Omar dengan pedangnya jika menyimpang adalah satu kejujuranya terhadap pemimpinnya…itulah agama dan itulah addin…Jujur kepada umum muslimin pula ialah dengan kita memberikan pertolongan dan tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan dunia dan akhirat mereka.Ianya termasuklah jujur seorang anak kepada kedua ibu bapanya, seorang guru pada pelajarnya dan sebaliknya seorang pelajar pada gurunya.Begitu juga daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.

Kejujuran itu bukan sahaja dilaksanakan dalam perkara yang disukai oleh seseorang tetapi juga kemungkinan perkara itu tidak disukainya,demi kebaikan seorang pembawa fitnah umpamanya,dalam masyarakat atau dalam kelompok manusia tertentu, kita terpaksa menghalangnya dan membongkar pembohongannya demi menyelamatkannya dari berterusan mendapat murka Allah dan juga menyelamatkan masyarakat dari kebatilan yang dibawanya.Itulah erti kejujuran kita terhadap keduanya dan itulah ertinya kita beragama dalam kontek kita bermasyarakat.Jika kita hanya menumpukan kebaikan untuk diri dan keluarga kita sahaja tanpa mengendahkan masyarakat keliling maka sebenarnya kita belum lagi jujur dalam ertikata sebenarnya, dan kita belum lagi boleh dikatakan kuat beragama, kerana Rasulullah menyatakan addin itu hendaklah JUJUR dengan kesemuanya…,jujur kepada Allah,jujur kepada Kitab,jujur kepada Rasul,jujur Kepada Pimpinan Muslimin dan seterusnnya jujur kepada Muslimin seluruhnya.

Oleh sebab itulah Allah menjadikan surah Al ‘Asr sebagai tunggak kepada ciri-ciri masyarakat muslim dan menganggap rugi sesiapa yang tidak memenuhi semua ciri-cirinya: Beriman, beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.


“DEMI MASA, SESUNGGUHNYA MANUSIA DALAM KERUGIAN, KECUALI MEREKA YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, MEREKA BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN DAN BERPESAN-PESAN DENGAN KESABARAN”


Mudah-mudahan usahan kerdil ini berpanjangan dan bertitik tolak dari keluasan dan rahmat
KEJUJURAN (AN NASIHAH)…

Tulisan : Ust Rushdan Abd Halim
Link : Blog Ust Rushdan

Tiada ulasan: