Jumaat, Julai 31, 2009

Rehlah Pelajar Baru Meriah!

Kuantan, 26 Julai - Bertempat di Hutan Lipur Berkelah yang terletak kira-kira 30km dari bandar Kuantan, PEMBINA Cawangan Kuantan telah berjaya mengadakan perkelahan bagi menyambut pelajar baru yang menyambung pengajian di sekitar Kuantan. Program ini bertujuan memperkenalkan PEMBINA pada pelajar-pelajar baru, memupuk ukhuwwah Islamiyah dan kembali memuhasabah diri tentang tanggungjawab sebagai pemuda Islam. Kira-kira 30 orang pelajar telah turut serta bersama berMABIT sehari sebelumnya. MABIT dimulakan dengan pengisan yang disampaikan oleh Ust. Norman yang banyak berkisar tentang keperluan untuk para pemuda sentiasa membersihkan jiwa (Tazkiyatunnafs) dari noda dosa dan maksiat. Kemudian kira-kira jam 5 pagi para peserta bangun bersama-sama untuk mengerjakan ibadah qiyamullail dan diteruskan pula dengan solat subuh berjemaah. Disusuli pula dengan tazkirah subuh yang telah disampaikan oleh Saudara Buraidah Aslami Rushdan sedikit sebanyak membuatkan para peserta kembali merenung tentang sejauh manakah mereka telah berperanan dalam menyebarkan risalah Islam.

Pada jam 8.30 pagi para peserta mula berkonvoi ke tapak perkelahan dan sebelum memulakan pendakian ke tempat perkelahan para peserta dihidangkan dengan kisah sahabat Mus'ab bin Umair, Saad b Abi Waqas, Uwais al-Qarni dan Mu'adz b Jabal. Kesemua sahabat yang sengaja dipilih, adalah terdiri dari para pemuda yang berjuang demi menegakkan agama Islam dengan harapan para peserta dapat mengambil pengajaran dari kisah tersebut. Tiba di tapak, para peserta didedahkan dengan aktiviti air yang banyak membina ikatan ukhuwwah di kalangan peserta. Biarpun baru pertama kali bersua, namun hubungan antara peserta seolah-olah telah lama bersahabat.
Alhamdulillah objektif yang digariskan berjaya dicapai. Dengan ini pihak PEMBINA Cawangan Kuantan ingin menyeru para pemuda di sekitar Kuantan untuk kita bersama-sama berganding bahu demi mengembalikan peranan pemuda Islam sepertimana di zaman Rasulullah SAW dan dengan penuh sedar kita bangun untuk bersama saf PEMBINA dalam membawa risalah Islam.

Wallahu'alam.

1 ulasan:

mutiara bd berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.