Jumaat, Oktober 02, 2009

Akhlak Mulia Wanita Membantu Keharmonian Bangsa

Salam dihulur pada semua khususnya yang bergelar wanita. Hari ini kaum Hawa mungkin telah berpuas hati kerana mereka sudah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Jawatan-jawatan negara selain Perdana Menteri sudah mampu dijawat oleh kaum wanita kita. Malah ramai wanita-wanita Malaysia telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Tetapi mari kita curi sekelumit masa untuk merenungkan dimanakah sebenarnya kehebatan, kemuliaan, ketinggian dan kepentingan seorang wanita itu? Adakah jawatannya, kedudukannya, kebijaksanaannya, atau kelincahannya yang patut dijadikan kayu pengukur?

Tuhan dan Rasul-Nya menilai kemuliaan seorang wanita pada akhlaknya. Akhlak mulia bagaikan bunga penyeri taman. Ada satu tugas dan peranan yang cukup penting yang perlu dimainkan oleh semua wanita iaitu mewujudkan keharmonian, ketenangan, kasih sayang dan kedamaian, bermula dari diri, rumahtangga hinggalah kepada masyarakat dan negara.

Tugas ini mungkin kurang besar dari sudut jawatan tetapi sangat penting dari segi peranannya. Sesuatu bangsa akan punah dan musnah apabila wanita sudah hilang malunya kerana apabila hilang malu, akan hilanglah juga akhlak bagi dirinya.

Wanita yang dihiasi akhlak mulia seperti yang dituntut oleh Tuhan akan memastikan rumahtangga terurus dan mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Anak-anak akan merasa bahagia dengan keluarganya, manakala suami akan terhibur dengan isteri yang tinggi akhlaknya. Lalu akan wujudlah keharmonian di dalam rumahtangga. Apabila banyak keluarga yang harmoni maka akan tercetuslah masyarakat yang harmoni dan dari situ pula akan lahirlah bangsa yang harmoni.

Hari ini di sebalik kemajuan yang begitu tinggi, masyarakat sudah hilang kasih sayang sedangkan kasih sayang adalah makanan jiwa. Ibu dan anak sudah tidak berkasih sayang, antara murid dan guru juga sudah tiada kasih sayang bahkan hilang kemesraan. Antara pekerja dan majikan turut tiada kasih sayang bahkan hilang kemesraan apatah lagi ikatan hati. Jika begitu di mana keharmonian dan kebahagiaan? Puncanya ialah kerana manusia sudah kehilangan Tuhan. Bila kehilangan Tuhan, segala-galanya hilang. Wanita telah hilang malu dan maruah dirinya.

Seorang wanita yang takutkan Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai cinta agung dalam hidupnya, akan menghiasi dirinya dengan akhlak mulia. Akhlak mulia inilah yang akan membantu melahirkan keluarga yang bahagia dan berkasih sayang seterusnya menjana keharmonian sesuatu bangsa. Itulah satu peranan yang tidak boleh dinafikan oleh wanita.

Hiasilah peribadi dengan bunga diri, yakni akhlak tidak kira tinggi mana sekalipun jawatannya. Barulah nanti akan wujud kembali kebahagiaan, ketenangan, keamanan dan keharmonian yang sudah sekian lama hilang dari masyarakat. Jika setiap wanita mampu melaksanakan tugas penting ini, dia sebenarnya telah memberi sumbangan besar untuk masyarakat yang layak mendapat pengiktirafan dan pembalasan di sisi Tuhan.

Wallahua'lam..

Tiada ulasan: