Sabtu, Januari 23, 2010

Nabi Daud Menjadi Raja 3

Suara Merdu Nabi Daud

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) pada waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masing amat taat kepada Allah dan kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah”. (Surah Sad 38:18-20)

Menurut Ibn Abbas dan Mujahid berkata tentang tafsir maksud ayat,"Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-ganang untuk bertasbih bersama dia (Daud) pada waktu petang dan oagi" iaitu ketika awal hari dan senja hari. Allah Taala mengurniakannya suara yang merdu yang tidak diberikan kepada orang lain.

Nabi Daud a.s. dikurniakan suara yang sangat merdu. Di dalam Qasas al- Anbiya', Auza'i berkata kepada Abdullah bin Amir, bahawa telah diberiakn kepada Daud a.s. kemerduan suara yang tidak diberikan oleh Allah kepada selainnya sehingga burung-burung dan binatang liar dengan tenang berada di sekeliling Daud, mati kerana haus dan dahaga sehingga sungai pun menajdi kering kerana mendengar kemerduan suara Daud.

Wahab bin Munabbih berkata bahawa orang yang mendengar suara Daud ketika membaca kitab Zabur akan berdiri dengan satu kaki seperti orang yang sedang menari. Apabila Baginda membaca Zabur dengan suaranya yang merdu itu, orang yang mendengarnya akan menjadi seperti orang yang terlena.

Jin dan manusia, burung-burung serta binatang liar apabila mendengar suara Daud a.s. akan menjadi tenang, malah sehingga ada yang mati kerana kelaparan.

Dalam riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Dipermudahkan atas Daud a.s. dalam membaca, maka diperintahkan binatang terlena ketika Daud membaca Zabur sebelum binatang-binatang itu terlena dengan sendirinya dan ia tidak makan kecuali daripada hasil tangannya sendiri.

Kemudian al-Bukhari ada meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Daud a.s. adalah seorng raja. Ketika ia membaca kitab Zabur, maka terlenalah binatang-binatang mendengarkan keindahan suaranya." Zabur adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Daud a.s. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan Kami datangkan kitab Zabur kepada Daud." (Surah al-Nisa' 4:163)

Imam Ahmad meriwayatkan, daripada Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w. ketika mendengar suara Abu Musa al-Asy'ari membaca al-Quran, maka Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dikurniakan kepadaku Abu Musa yang mempunyai suara merdu keluarga Daud."

Dalam riwayat Muslim diriwayatkan daripada Abu Uthman al-Nahdi, Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku mendengar alat seruling yang merdu, maka aku tidak pernah mendengar suara yang lebih merdu berbanding suara Abu Musa al-Asy'ari. Sesungguhnya sanagt merdu seperti suara Daud tatkala ia membaca Zabur."


Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif
Solusi 15

Tiada ulasan: