Khamis, April 15, 2010

Majlis Perpisahan Beliawanis Pembina Pahang

6 April 2010 mencatatkan peristiwa yang sungguh bermakna buat beliawanis Pembina Pahang. Satu majlis perpisahan telah diadakan di Pejabat PEMBINA Pahang bagi meraikan beliawanis tahun akhir yang akan menamatkan pengajian mereka pada bulan Mei ini.Seramai 14 orang beliawanis tahun akhir jurusan Perubatan, Farmasi dan Bioteknologi dari UIAM Kuantan serta 3 orang beliawanis dari Pusat Matrikulasi Gambang telah diraikan di dalam majlis ini.


~Amanat dari ustazah~

Alhamdulillah, majlis ini telah berlangsung dengan lancar walaupun persiapan untuk majlis ini diadakan semasa “demam peperiksaan” melanda dan kebanyakan beliawanis yang diraikan sangat sibuk dengan tugasan dan praktikal. Majlis perpisahan ini bermula dengan ucapan alu-aluan dari pengerusi majlis, Saudari Zu’aini dan Saudari Nur Jihan. Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Al-Qur’an yang diperdengarkan oleh Saudari Noor Taufikiah. Sejurus selepas itu, semua hadirin menjamu selera sambil menonton video khas sempena majlis perpisahan ini. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan persembahan dari para beliawanis yang diraikan. Kumpulan nasyid yang ditubuhkan pada malam itu telah membuat persembahan terbaik dan menyentuh hati dengan menasyidkan lagu “untukmu teman.”


~Nasyid terakhir sebelum tamat Visa~

Kemudian, para beliawanis yang datang “dihidangkan” dengan santapan rohani yang disampaikan oleh beliawanis senior, Kak Iza. Peringatan yang disampaikan telah memberi suntikan semangat kepada semua para beliawanis. Antara pesanan dari Kak Iza adalah;

1. Kita mestilah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang diimpikan sama ada untuk berjaya dalam pelajaran atau berjaya di dalam dakwah. Nilaian Allah terhadap kita bukan bergantung kepada sebesar mana apa yang kita mahu lakukan. Tetapi niat dan kesungguhan kita yang menjadi ukuran disisi Allah. Selagi kita masih dikurniakan kudrat berusaha lah untuk mencapai yang terbaik dalam kerjaya dan dakwah. Apa yang dilakukan mestilah hanya untuk mendapat redha Allah.

2. Kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi ujian dan menangkis sifat mazmumah yang sekali sekala hadir dalam diri kita adalah dengan memujuk hati untuk datang ke program usrah, mukhayyam(perkhemahan), daurah dan sebagainya. Ia adalah sesuatu yang sangat sukar untuk dilakukan dan memerlukan masa yang sangat panjang. Namun, kita mesti terus ISTIQAMAH untuk mendidik diri kita supaya hati kita sebati dengan didikan iman dan Islam serta merasa tanggungjawab ini seronok untuk dilakukan tanpa paksaan dari sesiapa pun. InshaAllah Allah akan membantu sesiapa yang IKHLAS membantu agama Allah.

3. Sabar adalah kunci yang paling ampuh untuk mencapai kejayaan. Bersabarlah berada di jalan didikan islami ini walaupun ujian yang datang sangat berat sehingga kadang-kadang membuat kita hampir berputus asa. Sabar untuk terus berjuang sebagai seorang pelajar menuntut pengorbanan yang tinggi, bersabar dalam mendidik diri, bersabar mengajak orang melakukan kebaikan dan bersabar dalam apa saja yang kita lakukan. Apabila kita bersabar, inshaAllah kita akan dapat bertindak dengan bijak & teliti. Jadi, sesusah manapun ujian yang datang, inshaAllah ianya akan dapat diatasi.


~Pesanan berharga dari Kak Iza~

Seterusnya, ungkapan nasihat berharga disampaikan oleh Ustazah Hayati sungguh memberi kesan di hati para beliawanis yang hadir. Antaranya, ustazah menasihatkan kepada semua beliawanis yang bakal menamatkan pengajian, supaya terus kekal di jalan didikan islami dan dakwah walaupun sentiasa diasak dengan kesibukan sebagai seorang doktor, saintis dan sebagainya. Selain itu, kita mestilah bertekad di dalam hati bahawa kemenangan Islam pasti akan dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Walau apa sekalipun yang terjadi, gerakan dakwah akan terus bergerak sehingga mencapai matlamat akhir iaitu kemenangan Islam. Bukannya dakwah yang memerlukan kita tetapi kitalah yang sangat memerlukan kepada dakwah. Jadi, berusaha dan berdoalah agar Allah menetapkan hati kita di jalan didikan islami dan dakwah ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.


~Cenderahati sebagai kenangan~

Alhamdulillah, majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada para beliawanis yang bakal “tamat visa” pengajian mereka. Kemudian, bacaan doa rabitah dan salam perpisahan menutup majlis pada malam tersebut. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati Allah. inshaAllah.

Tiada ulasan: