Isnin, Disember 13, 2010

Iqra’!

Oleh: Wardah Putih

Bacalah.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Sekali-kali tidak! Sungguh manusia itu benar-benar melampaui batas. Apabila melihat dirinya serba cukup. Sungguh, hanya kepada Tuhanmulah tempat kembali.
(Al-Alaq;1-8)

Sungguh-sungguh ramai sahaja yang akan kagum kalau tahu yang surah inilah, yang paling mula diturunkan kepada kekasih Kekasih.

Ilmu. Ilmu. Ilmu.


 

Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Ibadah tanpa ilmu tidak sempurnalah. Ilmulah yang akan membentuk akhlak. Terdidik manusia berilmu dengan akhlak mulia. Semakin bertambah ilmu, ibarat padi, makin berisi, makin rapat menunduk ke bumi. Begitulah.


 

Ilmu itulah cahaya yang bersinar-sinar, menerangi hati yang tidak kotor dan tepu dengan calitan noda. Seperti cahaya bertembung dengan cahaya, bertambah-tambahlah gemilang sinarnya.

Akhlak yang tebentuk dari didikan ilmu, bermulanya pastilah dengan niat yang betul dan satu.

Sabda kekasih Kekasih;
Janganlah kamu menuntut ilmu kerana ingin menunuk-nunjuk, sama ada untuk menindas orang lain, ataupun ingin memiliki sesuatu daripadanya. Maka bagi sesiapa yang melakukan yang demikian itu, nescaya nerakalah layak baginya.

Semasa kecil, ayah selalu bersenandung begini untuk saya:

Buai tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab

Dan saya akan bertanya;

"Macam mana boleh begitu bah? Belum tumbuh gigi dah pandai?"

Atau semasa sama-sama bernyanyi dengan teman-teman sepermainan,

Pokok jambu batu, jambu banyak buah
Allah yang satu, wajib kita sembah.
Bilang dari satu baca ramai-ramai
Ikut cakap cikgu, kita cepat pandai!

Alangkah indahnya. Zaman kanak-kanak, penuh riang dengan warna-warni ilmu. Belajar mengeja, atau mencongak. Belajar membaca doa, belajar bahasa.

Twinkle, twinkle little star
How I wonder what you are
Up above the sky so high
Like a diamond in the sky

Atau lagu ini…

Tanya sama pokok apa sebab goyang
Nanti jawab pokok angin yang goncang
Tanya sama angin apa sebab hujan
Nanti jawab angin, tanyalah awan

Awan nanti kata, aku kandung air
Sampai tempat sejuk, aku pun cair
Tengok dalam air, nampak bayang-bayang
Sampai satu waktu, bayang pun hilang

Tanpa kita sedar. Kita belajar segala-galanya semasa kecil. Sains, bahasa, matematik, agama; aqidah, akhlaq, sirah kekasih Kekasih. Semua.

Iqra'. Bukanlah sekadar membaca apa yang tercatat di atas sekeping kertas dan memahaminya sahaja. Tetapi iqra' merangkumi apa yang dilihat, didengar dan dieja. Termasuklah yang berkait dengan alam, atau apa-apa sahaja di keliling kita!


Mungkin juga sekarang waktu terlalu sempit ruangnya, untuk kita melihat ke sekeliling. Menilai ciptaan Allah dan hikmah yang terbenam di sebaliknya seperti zaman kecil-kecil dahulu. Tapi yang pastinya jiwa kita kini tak sebersih dahulu, sejernih jiwa semasa menjadi anak kecil.


 

Belajarlah mentafsir iqra' dengan mata hati kembali…

Tiada ulasan: