Selasa, Januari 11, 2011

Memelihara Perut


Oleh: Wardah Putih

Dari Abu Hurairah r.a katanya; Ada seorang laki-laki yang biasanya banyak makan. Setelah ia masuk Islam, makannya sedikit. Hal ini diceritakan kepada Rasulullah saw. Baginda bersabda;

"Orang yang beriman makan untuk satu perut. Orang yang kafir makan untuk tujuh perut.”



Agama Islam yang syumul amat mementingkan penjagaan dan pemeliharaan perut, terutamanya menahan daripada perkara-perkara yang haram dan syubahat, seterusnya terlalu mengikut hawa nafsu sehingga memakan makanan yang halal terlalu banyak dan menjejaskan ibadat sehari-harian. Kita harus ingat sesungguhnya umat Islam yang beriman dan bertaqwa hanya makan untuk mendapatkan tenaga dalam menjalani ibadat sehari-harian sebanyak yang mungkin, bukannya hidup untuk makan seperti orang-orang kafir yang disebutkan dalam hadis di atas. Malahan, sesorang yang mencari ilmu dan beribadat tetapi memakan makanan yang haram diumpamakan membina satu binaan di atas longgokan sampah-sarap.

Memakan makanan mengikut kehendak hawa nafsu dan mengisinya dengan bermacam-macam jenis makanan sehingga terlalu kenyang adalah makhruh hukumnya yakni dibenci oleh Allah SWT. Manakala mencari makanan yang halal adalah wajib bagi setiap orang Islam yang mengaku beriman.

Dari Abu Hurairah ra katanya; Rasulullah saw bersabda,

Makan dua orang cukup untuk tiga orang.Makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang.”

Natijah buruk daripada pemakanan mengikut hawa nafsu ini antaranya ialah;

1.hati menjadi keras
2.malas mengerjakan ketaatan
3.kurang bertenaga untuk beribadat
4.lemah fahaman dalam ilmu pengetahuan
5.kurang kebijaksanaan
6.kurang rahmat dan belas kasihan terhadap orang-orang yang lemah dari kaum Muslimin
7.sayang untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang perlu dan berhajat
8.meningkatkan syahwat
9.membantu tentera syaitan


Berkata Hujjatul-Islam Imam Ghazali Rahimullah:

" Perut yang kenyang dari yang halal adalah punca segala kecelakaan.Apatah lagi jika dikenyangkan perut itu dengan yang haram.”


Seseorang yang seringkali membiasakan dirinya makan dan minum mengikut nafsunya sehingga kekenyangan, akan menyebabkan dirinya mudah terjerumus ke dalam perkara haram dan syubahah.

Sabda Rasulullah saw;

“ Tiada suatu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan daripada perutnya.Memandailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya ( untuk menahan kelaparan). Jika itu tidak boleh dipertahankan, maka hendaklah dibahagi tiga: sepertiga untuk makanan, sepertiga
untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk pernafasan. "

Baginda turut bersabda,

“Sejahat-jahat umatku ialah mereka yang sentiasa mengisi perutnya dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat, dan batang tubuhnya pula bertambah dengan serba kemewahan.Hanyasanya ingatan mereka ialah aneka hidangan makanan, aneka corak pakaian , dan mereka sering meninggi diri apabila berbicara.”


Sabda Rasulullah saw lagi;

“ Orang yang terlalu kenyang di dunia, terlalu lapar di akhirat.”

Berkata Saidina Ali karramallahu wajhah;

“Siapa yang ingatannya semata-mata untuk mengisi perutnya saja, maka harganya samalah dengan apa yang keluar dari perutnya.”

Rasulullah saw sendiri seringkali memakan tepung sya’ir (tepung tidak berayak) yang diuli menjadi roti. Baginda sekeluarga juga adakalanya memakan kurma dan air saja, malahan berbulan-bulan juga dapur rumah baginda tidak berasap. Betapa Rasulullah memelihara perutnya, sedangkan jika baginda mahu dan berkehendak, pasti Tuhan akan memakbulkan doanya apabila diminta baginda. Tetapi, baginda memilih kenikmatan makanan di syurga berbanding makanan di dunia.

Setiap orang Islam yang beriman dan bertaqwa seharusnya menyemai rasa iffah( rasa puas), qanaah (memadai dengan sedikit) dan kezuhudan dalam menahan diri daripada hawa nafsu. Berusahalah mencari makanan yang halal dan hendaklah merasa cukup dengan memakannya yakni berhenti sebelum kenyang.Jauhilah makanan yang haram dan syubahah.


Rujukan;
1 Nasihat Agama Dan Wasiat Iman
2.Kitab Terjemahan Hadis Shahih Bukhari
3.Kitab bidayatul hidayah
4.Penawar Hati
5.Bimbingan Mencapai Insan Mukmin

Tiada ulasan: