Khamis, Julai 28, 2011

Belia Pahang Memperkasa 'Skill' Dakwah

KUANTAN, 22 Julai 2011- Sebagai sebuah persatuan belia yang dinamik, PEMBINA cawangan Pahang buat julung kalinya telah menganjurkan Perkhemahan PEMBINA Pahang 2011. Program ini dirangka bagi memenuhi tuntutan generasi muda sesuai dengan usia mereka merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi. Program yang telah dijalankan berteraskan kepada 5 objektif, iaitu memperkasakan kefahaman dan kesedaran tentang keutamaan dakwah, mengembalikan semangat bekerja di kalangan ahli PEMBINA, menghangatkan kembali ukhuwwah di kalangan ahli dan memantapkan serta mempelajari skill dakwah.

Pelbagai pengisian telah disampaikan seperti Ghulaam Dakwah:satu analisa, tazkirah tokoh-tokoh dakwah, forum Antara Ijazah dan Risalah serta perkongsian untuk mengembalikan momentum dakwah. Latihan dalam kumpulan (LDK) yang dijalankan begitu menarik serta sarat dengan pelbagai pengajaran yang sangat berguna dan merapatkan lagi ukhuwwah yang terbina di kalangan peserta. Malam kesenian yang dijalankan turut mempamerkan bakat masing-masing dengan persembahan teater musikal bertemakan kepada pengajaran yang dipelajari sepanjang program ini.

Pada majlis penutup, penasihat PEMBINA, Ust Mardhiyyah Zamani telah menyampaikan ucapan penutup yang begitu bersemangat berserta nasihat yang sungguh bermakna. Setelah Allah mengurniakan hidayah kepada kita, apakah kita akan mensia-siakan hidayah tersebut? Dan agama Allah ini telah dicipta dengan tabiat di mana ianya akan tertegak dengan usaha hamba-hamba Nya berserta dengan izin Allah Taala. Apakah lagi yang kita harapkan selain redha Nya dengan bekerja bersungguh-sungguh dalam amal dakwah ini untuk menegakkan agama Islam di muka bumi ini. Diharapkan dengan terlaksananya perkhemahan ini, PEMBINA Pahang akan terus maju ke depan dalam amal dakwah di Pahang. Sesungguhnya kefahaman yang mantap terhadap kepentingan dakwah akan membuahkan komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi.

Tiada ulasan: