Ahad, November 02, 2008

Interaksikan fitrahmu Dengan Tarbiyyah

Fitrah manusia adalah fitrah yang indah. Kelangsungan jiwanya dengan setiap makhluk yang lain bertitik tolak dari kemas dan teguhnya jiwa manusia itu berinteraksi dengan fitrah manusiawinya. Tidak dapat disangkal lagi satu fakta bahawa Islam diturunkan Allah s.w.t. untuk membelai dan melayani fitrah manusia, dalam pada masa yang sama, berada dalam sifat ubudiyah. Itulah indahnya Islam, dan begitulah cantiknya kehidupan kita di atas muka bumi ini. Mana-mana usaha untuk mengekang manusia dari fitrahnya, dari sifat manusiawinya yang luhur akan menyebabkan pemberontakan yang amat besar mudharatnya. Bahkan perjalanan dan kesinambungannya dengan makhluk lain, baik manusia lain mahupun alam wujud ini akan terjejas dan boleh jadi terbantut.

Sebelum pergi lebih jauh, amat penting untuk kita sedar bahawa fitrah yang dimaksudkan di sini bukan bererti hawa nafsu, tetapi segala yang lahir dari jiwa manusia sebagai sifatnya yang manusiawi, yang perlu dipenuhi untuk mengecap kepuasan hidup yang asasi dan memastikan kemandirian rohani dan emosi dalam kehidupannya.
Itulah satu sifat dalam jiwa manusia yang amat jelas komposisinya, amat teguh kedudukannnya.
Di satu sudut yang lain, da’wah yang kita pikul ini juga perlu kita raikan, bahkan perlu kita manfaatkan kedudukannya yang fitrah juga. Da’wah tidak wujud tanpa islam, dan islam berinteraksi dengan fitrah manusia. Kegagalan untuk meletakkan tautan atau mengasimilasikan antara tiga unsur ini tidak akan membawa kepada natijah yang positif.

Kefahaman tentang Islam dan da’wah yang baik adalah melalui tarbiyyah yang diinteraksikan dengan fitrah. Perkembangan individu muslim yang tidak berlandaskan fitrah manusia, akan hanya menghasilkan jiwa-jiwa berfikrah dan bersifat buruh, bukan bersifat jundiy. Jiwa-jiwa ini hanya akan beramal dengan arahan, dan fikrahdiguna saat hendak menyusun batu-bata. Bahkan fikrah yang terbina adalah pada mafhum yang amat sempit sekali, dan boleh jadi tarbiyyah yang difahaminya juga bersifat jumud. Fitrah yang tidak dihubungkaitkan dengan tarbiyyah dirinya akan dirosakkan oleh sifat buruhnya itu, akhirnya menghasilkan pekerja islam yang berkualiti rendah. Potensinya tidak akan dapat dikembangkan, bahkan perlu dicari semula kerana diragut sifat keburuhannya.

Jundiy kepada fikrah yang difahami oleh kita adalah jundiy yang berkembang secara syumul, mampu berinteraksi dengan fitrah manusiawinya, kuat untuk memikul beban da’wah ini dengan seluas skop kehidupan manusia tanpa meninggalkan erti keazaman, kesetiaan, pengorbanan dan kefahaman yang baik terhadap atau demi fikrahnya. Selain dari ini, mereka adalah umpama buruh-buruh upahan. Kita mempelajari ini dari para sahabat yang bersama Rasulullah s.a.w. dalam semua ketika, taat dan setia tanpa persoalan, namun unsur fitrahnya sebagai manusia tidak pernah diabaikan. Tidak banyak kisah para sahabat yang Rasulullah s.a.w. terpaksa memperbetulkan kembali mereka agar hidup selari dengan fitrahnya, antaranya kisah tiga orang yang setiap satunya ingin berpuasa tanpa buka, qiyamulail tanpa tidur-tidur, dan yang tidak mahu berkahwin. Kerana para sahabat tidak pernah keluar dari lingkungan fitrah manusiawinya, kerana islam bagi mereka adalah suatu cara hidup, bukan semata suatu cara fikir.

Kadangkala kita memandang remeh pada pengalaman mereka yang tidak bersama di dalam barisan da’wah ini, walhal kebanyakan mereka telah mempunyai pengalaman hidup berinteraksi dengan fitrah yang amat lama. Sebagai contoh, kedua ibu bapa kita yang telah lama berumah tangga, hinggakan mampu untuk membesarkan kita sebaik mungkin, cuma mungkin mereka tidak bersama dalam saf da’wah, atau tidak pernah terlintas tentang tarbiyyah, janganlah menyebabkan kita tidak mencedok pengalaman mereka yang bernilai itu untuk manfaat tarbiyyah dalam diri kita sendiri.

Pengalaman ibu bapa kita sebagai suami isteri, mengharungi badai rumah tangga adalah pengalaman yang berharga juga buat pasangan suami isteri penda’wah. Tribulasi dan mehnah yang mereka lalui hampir sama dengan tribulasi dan mehnah dalam rumahtangga penda’wah, cuma mungkin tidak pada sebab yang sama. Contohnya, seorang bapa yang bekerja syif malam, jika berminggu-minggu, ianya umpama seorang penda’wah yang perlu ke meeting yang pelbagai, memimpin usrah, hadir ke daurah dan sebagainya. Namun reaksi seorang isteri adalah serupa bagi kedua-dua kes, walau seunderstanding mana sekalipun kita katakan, naluri dan emosinya sebagai wanita tetap wujud, keranasupremacy fitrah manusia itu di dalam jiwanya adalah amat kuat. Pennyelesaian bagi kedua orang tersebut serupa sahaja. Maka apakah yang menjadi penghalang untuk penda’wah menceduk pengalaman kedua ibu bapanya itu? Kerana mereka bukan dalam rumahtangga penda’wah, lebih baik minta daripada qudama’. Akhirnya, nasihat yang paling relevan adalah pengurusan masa yang berkesan.

Jika kita ingin mengulas setiap perkara terkait fitrah dan tarbiyyah di sini, kita tidak akan mampu bertemu jalan penyelasaiannya, namun cukup untuk kita meletakkan dalam pemikiran sebagai pemula kepada anjakan paradigma dalam membentuk suatu pandangan yang segar dan sebagai usaha untuk menjangkau ufuk tarbiyyah yang lebih luas. Sesungguhnya tarbiyyah yang tidak berinteraksi dengan fitrahnya, suatu waktu nanti akan disentap oleh fitrahnya sendiri sehingga ia kembali meraikan fitrah manusiawinya. Jika ini berlaku, insyaAllah, sifat tarbiyyah yang syumul, seimbang dan sempurna akan mampu dikecap
www.bahantarbiyah.info

1 ulasan:

mutiara bd berkata...

baru sempat baca hari ni, panjang sangat. bahasa nya pun berbunga..tapi bagus.memang betul pengalaman qudama sangat berguna untuk kita yang masih cetek pengalaman ni..