" Aku benci dengan ustaz A ni. Dia kalau bercakap memang hebat, bagus. Tapi dia tu suka buat sesuatu tanpa fikir perasaan orang. Kadang-kadang aku rasa dia fikir dia dah bagus sangat." Ungkapan kata sebegini biasa terdengar di kalangan orang yang tidak berpuas hati dengan sesetengah daie', tidak kisahlah sama ada dia ditegur atau diberi tazkirah.(situasi ini juga berlaku dikalangan pendakwah biasa yang tidak bergelar ustaz). Ya, memang benar, cabaran menjadi seorang pendakwah memang tinggi. Jika nak dibandingkan dengan cabaran menjadi seorang doctor, mungkin cabarannya agak sedikit berbeza. Malah seorang doctor tidak memerlukan pengorbanan yang banyak berbanding seorang pendakwah dimana seorang pendakwah perlu mengorbankan wang, masa dan tenaga sendiri untuk menyampaikan atau membina ummah yang agung. Mengimbau kembali zaman rasulullah saw menyampaikan dakwah, perjalanan dakwahnya yang penuh ranjau onak dan duri. Baginda pernah dilempar batu, diancam bunuh, dihina, malah dituduh seorang gila, namun baginda tetap teguh dan gigih menyampaikan dakwahnya. Jika bukan kerana usaha baginda yang gigih, Islam tidak mungkin kekal hingga ke saat ini di mana kita sendiri dan juga saudara mara kita masih dikurniakan nikamat iman dan Islam. Alhamdulillah.
Apabila disebut tentang daie' atau pendakwah, hakikatnya setiap yang bergelar Muslim adalah daie'. Kewajipan berdakwah merupakan kewajipan yang dipertanggungjawabkan untuk umat Islam seluruhnya tanpa kecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing seperti Firman Allah yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan". Ayat ini menerangkan tentang kebaikan umat Islam(Khaira Ummatin) itu terletak kepada tugasnya menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Sebagai melengkapkan diri menjadi seorang daie' yang berjaya, seorang Muslim mesti mengikut lunas-lunas Islam, berakhlak mulia dan membekalkan diri dengan cukup untuk menghadapi ancaman musuh-musuh Islam. Janganlah kita menjadi seorang yang merosakkan Islam disebabkan kelemahan atau kejahilan kita.Berkait rapat dengan fenomena atau situasi yang pertama disebut di atas, orang yang begitu memahami Islam dari segi hak dan batilnya turut tersalah langkah dalam menjadi seorang daei yang berkesan. Ya, setiap manusia mempunyai kelemahan dan kesilapan yang tersendiri. Kadang-kadang, tanpa disedari perbuatan kita boleh menyebabkan kita kehilangan banyak mad'u yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam suatu masa nanti. Oleh itu, disini pentingnya semua pendakwah atau daie' mempunyai dan berusaha untuk memiliki ciri-ciri dakwah yang berkesan.
Dipetik daripada sebuah artikel karangan
Ustazah Ros Izanuri binti Jamaludin, ciri-ciri pendakwah hebat ialah:
- Memiliki Iman yang mantap
Pendakwah tanpa iman akan menjadi lebih buruk daripada bukan pandakwah tanpa iman. Mereka ibarat 'ulama jahat yang pandai menghias bicara tetapi kontang jiwanya. Mereka menjual agama untuk habuan dunia. Keimanan yang mantap akan membuahkan keikhlasan yang merupakan satu ciri penting pendakwah. Imam Hasan Al-Banna menghuraikan bahawa ikhlas adalah menjadikan setiap amalan, kata-kata dan perjuangan pendakwah adalah kerana Allah, untuk mencari keredhaanNya, dan pahala dariNya, tanpa memandang kepada imbuhan, kemegahan, gelaran, atau menjadi terkenal.
Muhammad Abdullah Al-Khatib, menyebut bahawa di antara tanda-tanda keikhlasan adalah:
- Takutkan kemasyhuran kerana meyakini bahawa Allah menerima amalannya jika ia tidak bercampur dengan rasa mengharapkan penghargaan dan pujian manusia.
- Sentiasa menganggap dirinya cuai dan berdosa di hadapan Allah kerana dia tidak terpedaya dengan amalannya dan tidak ujub.
- Lebih menyukai amalan yang dilakukan secara senyap kerana ingin menjadi orang yang paling berperanan walaupun tidak kelihatan ibarat akar tunjang pada sepohon pokok. Namun bila terpaksa untuk menonjol, dia lakukan dengan menjaga kelurusan niat.
- Baginya tugas pemimpin dan pengikut sama sahaja selagimana kedua-duanya terlibat dengan dakwah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.
- Mengharapkan redha Allah walau pun dimurkai oleh manusia.
- Mengasihi, menyukai, membenci atau memarahi manusia kerana Allah semata-mata.
- Tidak kecewa atau malas walau pun perjuangan mengambil masa panjang untuk memperlihatkan buah kejayaan.
- Tidak dengki atau curiga, bahkan gembira dengan kelahiran tenaga baru yang jujur untuk berdakwah.
- Berilmu
Pendakwah yang berjaya mestilah mempunyai ilmu mencukupi sebagai asas untuk bekalan diri dan ilmu yang mendalam untuk menarik sasaran. Namun tidak semestinya semua pendakwah menjadi faqih seperti para ulama'. Antara aspek yang penting: memahami asas agama, menguasai al-Quran, memahami uslub dakwah dan mengikuti perkembangan semasa
- Berakhlak (merupakan aspek yang paling penting untuk menangani situasi yang diberikan di atas)
Akhlak merupakan syarat asas seorang pendakwah. Pendakwah yang membawa mesej Islam sewajarnya melaksanakan mesej itu dalam kehidupannya sendiri. Nabi Muhammad SAW yang diutuskan dengan misi untuk menyempurnakan akhlak mulia telah menunjukkan contoh unggul sebagai pendakwah yang menjadi teladan sepanjang zaman. Bahkan ramai yang terbuka hati menerima Islam kerana akhlak Baginda SAW.
Keperluan para pendakwah untuk mengamalkan akhlak mulia boleh dilihat dalam beberapa perspektif berikut:
- Menjadi tauladan
Dakwah bil hal (dakwah melalui perbuatan) memang terbukti lebih berkesan dari dakwah bil lisan (dakwah secara lisan). Manusia secara fitrah sejak dari kecil hingga tua terdorong untuk meniru tingkahlaku orang lain terutamanya orang yang dihormati dan disanjung. Setiap pendakwah seharusnya berusaha untuk mengamalkan dahulu sebelum menyampaikan kepada orang lain. Cara ini menjadikan penyampaian lebih berkesan dan lebih ikhlas. Walau bagaimana pun menyampaikan sesuatu yang belum mampu dilakukan bukanlah satu kesalahan, terutamanya jika pendakwah itu telah mempunyai tekad dan usaha untuk mengamalkannya.
Allah mengherdik mereka yang mengatakan sesuatu yang meyampaikan sesuatu namun membiarkan dirinya sendiri cuai dari mengamalkannya. Hal ini termaktub dalam Surah As-Saff (ayat 2-3):
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya! Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.
Abdul Hadi Awang menyebut bahawa seseorang yang seseorang yang menyeru manusia supaya berakhlak mulia, tetapi akhlaknya sendiri rosak, maka dakwahnya tidak berkesan. Begitu juga jika dia mengajak orang menderma sedangkan dia kedekut, maka ajakannya akan gagal. Orang yang menyeru kepada jihad dengan berkobar-kobar tetapi dirinya sendiri penakut dan tidak yakin, maka seruannya tidak masuk ke dalam hati pendengar.
- Siddiq
Siddiq adalah sifat wajib bagi rasul yang mesti juga dihayati oleh para penyambung tugas para rasul. Siddiq pada hati menimbulkan keyakinan dan keazaman yang tinggi dalam perjuangan. Ia juga menjadikan pendakwah tidak selesa untuk sekadar berpeluk tubuh melihat kemelut menanda ummah. Hatinya begitu segar dan bersemangat untuk berada pada jalan perjuangan. Siddiq pada lidah pula menjadikan pendakwah jujur dalam tindakan dan benar dalam bicara. Abdul Karim Zaidan mengulas: "Seorang pendakwah muslim yang siddiq dapat dikenali dari raut wajah dan suaranya. Setiap kali Rasulullah SAW bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya, mereka akan berkata tentang Rasulullah: Demi Allah, wajahnya bukan wajah pendusta, dan suaranya bukan suara pendusta. Oleh yang demikian para pendakwah perlu menjauhi sifat bohong dan dusta."
- Sabar
Allah mengasihi orang-orang yang sabar (Ali Imran: 146) dan meyatakan dengan jelas bahawa Dia bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah: 153). Seterusnya Allah menjanjikan pahala yang besar—yang tidak terkira—kepada orang-orang yang sabar (Az-Zumar:10). Maka, pendakwah sewajarnya mengejar 'status' sebagai hamba Allah yang penyabar.
Imam Al-Ghazali membahagikan sabar kepada tiga pembahagian besar:
- Sabar dalam perkara yang berpunca dari ikhtiar manusia sendiri iaitu sabar dalam melakukan ketaatan serta sabar dalam meninggalkan maksiat.
- Sabar dalam perkara tidak berpunca dari ikhtiar sendiri tetapi boleh dihadapi dengan tindak balas dari ikhtiar sendiri, iaitu sabar atas perlakuan orang lain ke atas diri kita. Contohnya, jika orang mengucapkan kata-kata kasar dan maki hamun terhadap kita, kita boleh membalasnya dengan senyuman atau kata-kata lembut bila mampu bersabar.
- Sabar atas musibah yang besar yang diluar kemampuan ikhtiar kita seberti ditimpa bencana dan seumpamanya.
- Penyayang
Manusia tidak melakukan kerja dakwah jika tiada sifat pengasih dan penyayang. Pendakwah memandang wajah-wajah mad'u denga rasa kasihan dan kasih—bukannya rasa benci dan meluat—walau pun mad'u itu mempunyai seribu macam cacat cela yang layak untuk dibenci. Jika mad'u itu melakukan maksiat, pendakwah wajib membenci PERBUATAN itu, tetapi tidak perlu membenci batang tubuh yang melakukannya. Pendakwah seharusnya dimotivasikan dengan rasa belas terhadap pelaku maksiat yang mungkin dijilat neraka, bukannya dimotivasikan dengan rasa geram kerana busuknya perangai pelaku maksiat itu. Hal ini terbukti dengan ucapan tokoh dakwah ulung yang berdakwah tanpa penat lebih 950 tahun sebagaimana yang diungkap dalam firman Allah (Al-A'raf:59):
Maksudnya: Maka berkatalah (Nuh) kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada tuhan bagi kamu selainNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (hari kiamat)"
Dr Abdul Karim Zaidan menyebut bahawa sifat penyayang pada pendakwah akan melahirkan sifat pemaaf dan menjadikan pendakwah berjiwa besar sehingga merasakan dugaan dari musuh itu sebagai ujian yang kecil. Sifat penyayang juga akan menjadikan pendakwah mudah didekati oleh para mad'u.
- Merendah diri (Tawadhu')
Pendakwah tidak boleh sombong. Jika masih ada saki baki kesombongan, pendakwah perlu bermuhasabah dan mengikisnya hingga licin. Namun kadang-kadang kesombongan itu bertapak dalam hati tanpa disedari. Maka pendakwah perlulah kerap bermuhasabah agar dapat menjadi seorang yang tawadhuk dan merendah diri. Antara tanda-tanda kesombongan ialah merasa terlalu gembira bila dihormati dan disambut, dan merasa amat kecewa jika tidak dipedulikan. Orang yang sombong juga akan mengelakkan dari melakukan kerja-kerja yang dianggap 'rendah, kotor atau kasar' seperti menyapu sampah, membersih longkang dan seumpamanya. Dr. Abdul Karim menyebut bahawa orang takabur amat sukar mengakui kesalahannya walau pun memang jelas dia bersalah. Manusia akan menjadi tawadhu dan hilang sikap takabur apabila menghayati kehebatan dan keagungan Allah SWT. Mereka akan menganggap bahawa dirinya terlalu kerdil dibandingkan dengan kesucian, ketinggian dan kebesaran Allah. Lantas akan timbul perasaan untuk sentiasa tunduk kepada Allah walau pun dikurniakan berbagai kehebatan duniawi seperti kepandaian, kekayaan, kecantikan dan kepimpinan. Pendakwah yang merendah diri akan mudah bergaul dengan mad'u yang terdiri dari pelbagai peringkat. Pendakwah begini tidak akan membezakan antara sasaran yang miskin atau kaya—semuanya dilayan dengan istimewa sebagai mad'u. Mereka tidak rasa tergugat atau marah apabila batang tubuh mereka diherdik atau dihina. Namun apabila yang dihina itu adalah agamanya, Tuhannya atau Nabinya, mereka akan bersikat tegas dan lantang.
- Mudah mesra dengan masyarakat
Pendakwah yang baik adalah yang pandai bergaul dengan masyarakat. Dia disukai oleh segenap kelompok sama ada orang tua, remaja, dewasa bahkan kanak-kanak. Dia tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai latarbelakang—golongan profesional, pekerja am, remaja yang nakal, golongan elitis, golongan marhain, dan sebagainya. Pendakwah yang baik murah senyuman dan mudah memberikan salam. Beliau juga tidak lokek untuk bertanya khabar dan berkenalan dengan orang yang baru dikenali. Dia juga bijak untuk menjadikan mad'u merasa serasi dan selesa untuk terus mengikuti dakwahnya.
- Suka berkhidmat dan menolong
Pendakwah yang baik juga perlu sentiasa ringan tulang untuk melakukan kerja kebajikan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis-hadis berikut:
Maksudnya: Demi sesungguhnya, seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari ia beriktikaf di dalam masjidku ini selama dua bulan.
Maksudnya: Seseorang Islam itu saudara seorang Islam yang lain. Siapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah bersama dengan hajatnya. Dan sesiapa yang melepaskan satu kesusahan saudaranya, nescaya Allah akan melepaskan satu kesusahan daripada kesusahannya di hari kiamat.
- Gigih berjihad
Pendakwah yang berjaya akan sentiasa gigih berjihad menyampaikan dakwah. Imam Hasan Al-Banna menyebut bahawa dakwah tidak akan hidup tanpa jihad. Maka para pendakwah juga perlu menghayati semangat jihad dalam usaha dakwah.
- Berdisiplin
Pendakwah tentunya tidak boleh bergerak keseorangan. Dia perlukan organisasi yang dapat mewujudkan sinergi dalam usaha dakwah. Bahkan kerja secara berjamaah merupakan tuntutan yang tidak boleh dinafikan. Oleh yang demikian, setiap pendakwah perlu memahami tanggungjawab dan disiplin berada dalam jamaah. Dia perlu tahu untuk bertindak sesuai dengan kehendak jamaah. Dia juga perlu bersedia untuk taat kepada pemimpin walau pun dalam perkara yang tidak disukainya. Dia juga mengamalkan syura dan menghormati keputusan syura.
Akhir kalam, mari kita sama-sama menjadi seorang pendakwah yang berjaya dengan memiliki ciri-ciri dakwah yang berkesan dan efektif. Majulah pendakwah muda untuk kegemilangan Islam!
*InsyaAllah akan disambung selepas ini dengan sifat-sifat daei' yang perlu dielakkan. Nantikan!
1 ulasan:
Tulisan sangat bagus. Teruskan dan bersemangat wahai daie2 pembina pahang semua, masyarakat menanti seruan dakwah antum..
Catat Ulasan