Rabu, Julai 01, 2009

Uthman bin Affan ( Zu nur ain) 3

Pada suatu musim kering di Madinah, umat Islam telah kekurangan bekalan air. Bayangkan sahaja negeri padang pasir pada zaman tersebut. Nama pun sudah dipanggil negeri padang pasir. Jadi bolehlah kita fahami keadaannya, apabila disebut musim kering di Madinah. Sudahlah hujan turun jarang-jarang pada musim biasa, maka apatah lagi pada musim kering. Walaupun muslimin ansar mempunyai sumur-sumur air, tetapi tidak cukup untuk menampung seluruh umat Islam di Madinah. Maka mengadulah mereka kepada Rasulullah s.a.w.

Buat pengetahuan semua, pada masa tersebut terdapat sebuah sumur yang sangat banyak airnya dimiliki oleh orang Yahudi Madinah. Nama sumur tersebut adalah sumur Ruumah. Tapi tahu sajalah, masakan orang Yahudi Madinah akan memberikan secara percuma kepada para sahabat? Sudah tentu jauh panggang dari api. Kata orang, tunggu bulan jatuh ke ribalah jika mahu mengharap pertolongan orang Yahudi.

Setelah menerima banyak pengaduan dari kaum muslimin, Rasulullah pun membuat tawaran kepada muslimin yang berada dalam majlis baginda. Sesiapa yang membeli sumur Ruumah akan diberi syurga. Dengan segera Uthman r.a membeli sumur tersebut dan mewakafkannya kepada umat Islam.

Inilah yang disebut dalam surah At-Taubah ayat 111.

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang mukmin, diri mereka dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang dijalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar dari Allah dalam taurat, Injil dan Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu. Demikianlah kemenangan yang agung”

Selain itu, pernah juga Uthman r.a ditawarkan untuk menjualkan barang-barangnya kepada segolongan pedagang Madinah. Pada masa itu, pasar-pasar menjadi sunyi, dan kosong dari bahan makanan, manusia menderita kesusahan dan kelaparan. Barang-barang (milik Uthman r.a) tersebut adalah barang dagangan yang bermacam-macam dari negeri Syam. Walau bagaimanapun, Uthman r.a tidak mahu menjualkan barang tersebut kepada mereka. Sehingga, para pedagang itu menawarkan keuntungan kepada Uthman r.a sebanyak 8 kali ganda.

Akhirnya Uthman r.a berkata “Allah s.w.t sanggup memberikan kepada saya keuntungan yang lebih berlipat kali ganda dari yang anda tawarkan”

Kemudian, Uthman r.a membahagikan segala yang ada kepada kaum muslimin yang memerlukan pada masa itu..

Alangkah pemurahnya Uthman r.a..

Tiada ulasan: