Perjalananku bermula di sini. Aku mencari tempat duduk bernombor 12 di dalam bas Bulan Restu yang tidak kurang 10 minit lagi akan memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur. “Harap-harap janganlah lelaki yang duduk di sebelah ku nanti” hatiku berbisik. “Em..adik, ini tempat duduk nombor 12 ke? ” aku bertanya. Gadis berbangsa India itu mengangguk, sambil tersenyum. Aku pantas duduk dan menghembus nafas lega, “Alhamdulillah”. Bas memulakan perjalanan. Setelah beberapa ketika melihat pemandangan luar menerusi tingkap bas, aku lalu membelek buku teks yang berada di atas ribaku. Aku lantas menganalisa setiap bait-bait ayat yang tertulis, “Exam dah semakin hampir”, monologku sendiri. “Kak ambil kursus nursing ke?”gadis yang memperkenalkan diri sebagai Kalai itu bertanya. Aku hanya mengangguk. Aku menjeling Kalai yang sedang khusyuk membaca sebuah buku kecil. Mataku tertumpu kepada baris-baris kata yang berbunyi. Aku terbaca..
“Aku tidak pernah iri dan selalu bersikap adil terhadap semua makhluk.
Bagi-Ku tidak ada yang paling Ku-benci dan tidak ada yang paling Aku kasihi.Tetapi yang berbakti kepada-Ku, dia berada pada-Ku dan Aku bersamanya pula (Bhagavad Gītā, IX. 29)
“Adik, baca buku apa itu? Kitab kah itu?” Spontan aku bertanya. Kalai menganggukkan kepalanya. Inilah kali pertama aku melihat kitab Hindu. “Saya dan emak dalam perjalanan ke rumah nenek di Klang, ada upacara penyembahan nenek moyang. Ini pun kali pertama saya baca kitab ini, kak. Sepatutnya kitab ini harus dihafal oleh semua penganut Hindu”. Giliran aku pula mengangguk. Kalai memberi aku peluang membelek-belek kitab itu. “Adik percaya tuhan itu satu? Aku mengalihkan pandangan ke arah Kalai yang tepat memandang wajahku. Dia mengangguk.
Kalai memulakan ceritanya, “Orang Hindu ini juga seperti orang Islam, mereka percaya Tuhan itu satu. Dewa yang kami sembah bukanlah Tuhan. Dalam salah satu ajaran falsafah Hindu ada menegaskan yang Tuhan itu memanifestasikan diri-Nya kepada manusia dalam beragam bentuk. Itu lah dewa kami”. “Saya kan kak, suatu hari nanti nak mencari agama sebenar dekat dunia ini”, Kalai berbisik.
“Islam? Apa pandangan adik tentang agama Islam?”
“Bagi saya, Islam adalah agama yang bagus. Saya tahu orang Islam Tuhannya satu. Orang Islam kena sembahyang 5 waktu sehari, berpuasa dari terbit matahari hingga senja, membaca kitab. Tapi itu tidak cukup, saya perlu mengkaji lagi tentang agama Islam. Saya berminat. Orang Islam baik”. Aku tersenyum.
Sambil memegang lembut bahu Kalai, aku menegaskan, “Tuhan itu hanya satu, adik. Dia yang menjadi tumpuan sekalian yang hidup untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak, dan tiada pula diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya”.
Perbualan aku dan Kalai berakhir apabila kami sampai di stesen bas Jalan Pekeliling. Di sepanjang perjalanan pulang ke rumah, fikiranku ligat berputar..
Semua manusia di dunia ini sering mencari-cari kebenaran akan kewujudan Tuhan yang sebenar, Yang Satu, Yang Tunggal. Cuma kadang-kadang kebenaran itu terselindung di sebalik dunia realiti yang telah kabur sirnanya. Syukur, kita diciptakan, dipilih dan dilahirkan beragama Islam. Agama yang mentauhidkan Allah yang Esa.
Agama Hindu, mahupun agama Kristian, juga dalam falsafah mereka mengakui akan Tuhan itu Satu. Sebagai contoh, agama Kristian yang mempunyai banyak cabang budaya, Katolik, Protestanisme, Lutheranisme atau Ortodoks Timur antaranya adalah agama Abrahamik yang berpaksikan konsep monoteisme, namun mereka percaya yang tuhan itu mempunyai tiga keperibadian, Trinity.
Masih ramai lagi individu seperti Kalai yang mencari hakikat kewujudan Tuhan yang sebenar di luar sana. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam membuka minda mereka. Agama Islam bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah alpa daripada tanggung-jawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai da’wah Islam kepada mereka yang belum menerima Hidayah lagi.
Allah swt mencela golongan seperti ini dalam Surah Al-Baqarah 2:140 “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan”. Na’uzubillah.
Allah swt memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran 3:110 “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi(faedah) umat manusia”. Ayat ini menuntut malah meletakkan seberat-berat tanggungjawab kepada kita untuk membimbing umat manusia, termasuk diri kita sendiri. Tanggungjawab ini tidak hanya untuk digalas oleh seorang ustaz, imam, tabligh atau Jabatan Agama Islam tetapi adalah tanggungjawab yang perlu digenggam erat oleh setiap individu Muslim itu sendiri.
Kunci kejayaan untuk melakukan da’wah kepada orang bukan Islam ada di dalam Surah Ali Imram 3:64 “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”
Kita haruslah bijak mencari kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, dengan cara mengkaji kitab mereka, bukan untuk beriman tetapi untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Pendekatan awal yang berteraskan Al-Qur’an dan Hadith sahaja boleh membuatkan orang bukan Islam ini goyah lantaran mereka belum beriman kepada Al-Qur’an.
Lihat saja beberapa pendekatan yang yang boleh kita gunakan daripada Bible:
“My father is greater than all” [John 10:29]
“…I cast out devil by the spirit of God…” [Matthew 12:28]
“…I with the finger of God cast out devils…” [Luke 11:20]
“Hear, O
Jika kita teliti maksud di sebalik bait-bait ayat ini terselit bukti akan kewujudan Tuhan yang Esa yang penganut agama Kristian sendiri tidak boleh menafikannya.
Di dalam kitab agama Hindu seperti, Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan Bhagavad Geeta, ada beberapa contoh yang boleh kita gunakan antaranya:
“He is One only without a second” [Chandogya Upanishad 6:2:1]
“Of Him there are neither parents nor lord.” [Svetasvatara Upanishad 6:9]
“There is no likeness of Him” [Svetasvatara Upanishad 4:19]
“There is no image of Him” [Yajurveda 32:3]
Namun begitu adalah penting untuk kita menyampaikan da’wah secara bijaksana seperti yang tertulis didalam Surah An-Nahl 16:125 “Serulah kejalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.
Walau sekadar ucapan La ilaha illah, maka sebarkanlah.
2 ulasan:
Artikel yang sangat bagus! syukran. Jom teruskan usaha sampaikan Islam. InshaAllah, moga kita menjadi wasilah untuk mereka mendapat hidayah.wallahua'alam.
nk post link ni kat facebook..thnks.. artikel yg menarik
Catat Ulasan